Iran tuntut pampasan RM1.06 trilion dari lima negara serantau

Iran tuntut pampasan dari lima negara serantau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Iran menuntut bayaran pampasan akibat kemusnahan yang disebabkan oleh serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, ketika negara itu kekal tegas dan kuasa-kuasa serantau terus berusaha menjadi orang tengah bagi menamatkan konflik tersebut.

Wakil Teheran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, lima negara serantau perlu membayar pampasan, berdasarkan dakwaan wilayah mereka digunakan untuk melancarkan serangan terhadap Iran.

Iran turut membangkitkan cadangan supaya pampasan diperoleh melalui satu protokol Selat Hormuz, yang akan merangkumi cukai ke atas kapal yang melalui laluan tersebut.

Jurucakap kerajaan Iran, Fatemeh Mohajerani dalam temu bual dengan agensi berita Russia RIA Novosti berkata, anggaran awal menunjukkan Iran mengalami kerugian kira-kira AS$270 bilion (RM1.06 trilion) dalam kerosakan langsung dan tidak langsung sejak perang AS-Israel bermula pada 28 Februari.

Beliau tidak memberikan perincian lanjut seperti pecahan kerosakan, namun berkata, isu pampasan telah dibincangkan dalam rundingan minggu lalu antara Teheran dan Washington di Pakistan dan akan terus dibangkitkan dalam sebarang rundingan akan datang dengan AS serta pihak pengantara.

Kerajaan menyatakan ia masih menilai kerosakan besar terhadap infrastruktur kritikal negara selepas kemudahan minyak dan gas, syarikat petrokimia, loji keluli dan kilang aluminium berulang kali menjadi sasaran, selain kompleks ketenteraan. Pemulihan penuh dijangka mengambil masa bertahun-tahun.

Jambatan, pelabuhan dan rangkaian kereta api, universiti serta pusat penyelidikan, selain beberapa loji janakuasa serta loji penyahgaraman air turut terkena serangan secara langsung, manakala sejumlah besar hospital, sekolah dan rumah awam rosak atau musnah.

Realiti Ekonomi

Lapor Al Jazeera, Mohajerani sebelum ini memberitahu media negara ‘realiti ekonomi semasa’ bermakna kerajaan tidak mempunyai sumber mencukupi untuk membayar pampasan kepada rakyat sekiranya rumah mereka rosak atau musnah akibat serangan AS-Israel.

Sementara itu, setiausaha Persatuan Syarikat Penerbangan Iran, Maghsoud Asadi Samani berkata, 60 pesawat awam tidak lagi boleh digunakan, dengan 20 daripadanya musnah sepenuhnya akibat serangan AS dan Israel.

Beliau berkata, Iran kini hanya mempunyai kira-kira 160 pesawat penumpang yang masih beroperasi, kebanyakannya sudah berusia puluhan tahun dan terus digunakan melalui kerja penyelenggaraan yang sukar akibat kekurangan alat ganti dan perkhidmatan berikutan sekatan ketat AS.

Samani turut menyatakan syarikat penerbangan kehilangan sebahagian besar pendapatan yang dijangka diperoleh semasa cuti Nowruz atau Tahun Baharu Parsi pada akhir Mac, dengan kerugian terkumpul melebihi AS$190 juta (RM750 juta) dalam tempoh 40 hari perang.

Beberapa lapangan terbang antarabangsa termasuk di Teheran, Tabriz, Urmia dan Khorramabad mengalami kerosakan besar selepas landasan, menara kawalan dan hangar diserang.

Walaupun tahap kemusnahan sangat besar serta kesan sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran yang bermula Isnin lalu, pihak berkuasa Iran memberi isyarat mereka tidak akan membuat konsesi besar dalam rundingan dengan Washington, termasuk berkaitan pengayaan nuklear.

Jurucakap Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Ebrahim Rezaei berkata, gencatan senjata dua minggu yang diumumkan minggu lalu tidak wajar dilanjutkan kerana ia memberi peluang kepada AS dan Israel memperkukuh kedudukan ketenteraan mereka.

“Mereka mesti sama ada mengiktiraf hak Iran, termasuk kawalan kami ke atas Selat Hormuz, atau kembali kepada perang,” katanya dalam satu hantaran media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×