Iran tidak mungkin hadapi kebuluran

Iran tidak mungkin hadapi kebuluran

KEADAAN jalan raya di Teheran yang sesak berhadapan papan iklan besar yang memaparkan imej Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kehidupan di ibu negara Iran kembali kepada normal apabila pasar, kafe dan premis perniagaan beroperasi semula, manakala sebahagian lebuh raya kembali sibuk selepas gencatan senjata rapuh dengan Amerika Syarikat (AS) kekal bertahan susulan pertempuran sengit sejak beberapa minggu.

Bagaimanapun, pengguna kekal berhati-hati dalam perbelanjaan mereka, dengan ramai yang hanya membeli keperluan asas.

Ketika kebimbangan terhadap masa depan meningkat dan corak perbelanjaan berubah, kerajaan Iran sedang berusaha memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan mencukupi bagi mengurangkan tekanan terhadap rakyat susulan konflik berkenaan.

Kelmarin, Kabinet Iran menambah klausa dalam garis panduan pelaksanaan belanjawan tahunan bagi menghidupkan semula kadar pertukaran khas untuk import barangan keperluan seperti gandum, ubat-ubatan, peralatan perubatan dan susu formula bayi.

Langkah itu bermaksud kerajaan merancang memperuntukkan sehingga AS$3.5 bilion (RM13.8 bilion) daripada hasil minyak dan gas kepada rangkaian pemegang amanah untuk mengimport barangan keperluan tersebut.

Import itu akan dibeli pada kadar pertukaran rasmi 285,000 rial bagi setiap dolar AS, jauh lebih rendah berbanding kadar pasaran sekitar 1.55 juta rial bagi setiap dolar, serta di bawah kadar belanjawan sebanyak 1.23 juta rial, menurut media kerajaan.

Langkah itu menandakan perubahan separa dasar kerajaan berbanding belanjawan yang dibentangkan pada akhir Disember lalu, ketika protes peniaga di Teheran berkembang menjadi bantahan antikerajaan di seluruh negara.

Belanjawan tersebut sebelum ini mencadangkan penghapusan kadar tukaran mata wang paling murah. Rasionalnya pada masa itu kadar subsidi tersebut mewujudkan sistem tidak telus selama bertahun-tahun didakwa menggalakkan rasuah tanpa mengurangkan harga untuk rakyat Iran.

Namun pada Ahad, seorang timbalan di Kementerian Koperasi, Buruh dan Kebajikan Sosial, Yaghoub Andayesh memberitahu televisyen kerajaan, harga barangan keperluan terjejas dengan ketara akibat penghapusan kadar mata wang murah tersebut.

Beliau berkata, kementerian mengemukakan pelbagai senario kepada kerajaan bagi menjamin keselamatan makanan merangkumi 11 kategori barangan keperluan yang menyaksikan kenaikan harga mendadak dalam beberapa bulan kebelakangan ini, namun enggan mendedahkan angka tepat kenaikan harga tersebut.

Selain memperkenalkan semula kadar pertukaran murah, pegawai itu berkata, kerajaan sedang menilai sama ada boleh meningkatkan jumlah bantuan bulanan dan kupon elektronik kepada rakyat Iran, sebagai usaha sebahagian untuk mengurangkan kesan inflasi makanan yang antara tertinggi di dunia.

Ketika ini, setiap individu layak menerima bantuan bernilai kurang daripada AS$10 (RM39.50) sebulan.

DANA KEKAYAAN NEGARA

Pihak berkuasa Iran turut memanfaatkan dana kekayaan negara yang terjejas akibat sekatan untuk membeli barangan keperluan, dalam langkah terbaharu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Media kerajaan melaporkan pada Ahad, sehingga AS$1 bilion (RM3.95 bilion) akan dikeluarkan daripada Dana Pembangunan Negara Iran untuk mendapatkan import gula, beras, barli, jagung, tepung kacang soya, daging merah dan ayam, dengan tujuan melengkapkan rizab strategik.

Pihak berkuasa berkata, negara itu masih mempunyai rizab mata wang dan emas yang mencukupi serta menyalurkan semula sebahagian hasil jualan minyak yang dilakukan bagi mengelak sekatan AS ke dalam dana tersebut, namun tiada butiran lanjut diberikan.

Pada Ahad, televisyen kerajaan melaporkan walaupun AS mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran serta mengebom fasiliti minyak dan gasnya, cabaran utama negara itu bukanlah meningkatkan pengeluaran atau mengeluarkan kapal tangki besar dari Selat Hormuz.

“Cabaran utama ialah membawa kapal tangki kosong ke kawasan Kharg dan Jask untuk memuatkan minyak yang diekstrak,” kata seorang penyampai.

Agensi berita Tasnim, yang mempunyai kaitan dengan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC), pada Sabtu mengakui sebahagian pihak bimbang terhadap keselamatan makanan susulan perang yang dilancarkan AS dan Israel pada 28 Februari.

Namun, agensi itu menyatakan adalah tidak ‘realistik’ untuk menganggap Iran boleh berdepan kebuluran akibat sekatan AS kerana negara itu mempunyai sempadan luas dengan negara jiran seperti Iraq, Turkiye dan Pakistan, yang membolehkan import disalurkan melalui laluan tersebut.

TINGKAT KUASA EKSEKUTIF

Kerajaan Iran turut meningkatkan kuasa eksekutif gabenor di wilayah sempadan bagi mempercepatkan import barangan keperluan dengan mengurangkan birokrasi.

Presiden, Masoud Pezeshkian pada Sabtu berkata, kerajaan secara rasmi memaklumkan perluasan kuasa tersebut, namun para gabenor perlu menunjukkan ‘inisiatif dan kreativiti’ untuk memenuhi keperluan tambahan semasa perang.

Pada Ahad pula, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Iran mengumumkan dalam tempoh dua hari ia akan memulakan pengagihan berpusat barangan strategik dalam sektor perubatan.

Ia bertujuan memastikan fasiliti kesihatan mendapat akses kepada rizab strategik secara adil dan tepat pada masanya serta mengurangkan cabaran perolehan.

Namun, kebimbangan terhadap kekurangan barangan masih berterusan. Sebahagian penduduk mula menyimpan stok makanan dalam tin dan air. 

Bagi mengurangkan perbelanjaan, mereka turut membatalkan perjalanan dan aktiviti rekreasi, serta menghentikan kunjungan ke restoran dan pesanan makanan dalam talian.

Sebilangan kecil rakyat Iran yang masih boleh mengakses internet dari dalam negara ketika sekatan hampir sepenuhnya dilaksanakan oleh kerajaan, sama ada menggunakan sambungan yang diluluskan kerajaan atau membayar kos yang sangat tinggi untuk mendapatkan rangkaian peribadi maya (VPN) serta kaedah pintasan lain.

Jutaan pekerjaan tergendala, manakala puluhan ribu pekerja diberhentikan atau kehilangan pekerjaan secara langsung akibat sekatan internet yang belum pernah berlaku sebelum ini, berlarutan hampir dua bulan, selain serangan terhadap infrastruktur awam dan ekonomi penting seperti kilang keluli.

Namun, walaupun pihak berkuasa menegaskan infrastruktur negara akan dibina semula, mereka menyatakan sekatan internet akan diteruskan sepanjang tempoh perang dan memperluaskan sistem akses internet bertingkat yang lama ditentang rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN