TEHERAN: Iran telah mengharamkan eksport produk keluli, lapor media tempatan pada Selasa dengan memetik kenyataan pihak berkuasa kastam.
Ia berlaku selepas serangan udara menyasarkan industri kelulinya dalam perang dengan Israel dan Amerika Syarikat (AS).
Agensi berita Fars melaporkan arahan daripada pihak kastam republik Islam itu berhubung larangan eksport keluli, termasuk produk slab, kepingan dan jalur, berkuat kuasa mulai 26 April.
Keluli merupakan bahan strategik penting, yang diperlukan untuk pelbagai industri dan pengeluaran ketenteraan termasuk peluru berpandu, dron serta kapal.
Israel beberapa hari sebelum gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April berkata, serangan udaranya telah memusnahkan 70 peratus kapasiti pengeluaran keluli Iran selain turut menyasarkan kemudahan petrokimia dan infrastruktur pengangkutan.
Kerosakan tersebut boleh memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi Iran, yang sudah pun bergelut di bawah sekatan sebelum perang, dengan kadar inflasi hampir 50 peratus.
Kesukaran ekonomi dan kejatuhan nilai mata wang rial merupakan antara faktor utama di sebalik protes besar anti-kerajaan pada awal tahun.
Tekanan itu semakin meningkat sejak perang bermula pada 28 Februari, menurut rakyat Iran yang bercakap kepada wartawan AFP di luar negara, dengan ramai menyatakan peluang pekerjaan semakin berkurangan dan harga keperluan asas meningkat.
Perang itu turut mencetuskan kejutan ekonomi di seluruh dunia, apabila sekatan Iran di Selat Hormuz menghalang aliran minyak, gas dan baja, sehingga menyebabkan harga melonjak. – AFP











