WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Isnin bahawa beliau akan memusnahkan setiap jambatan dan loji janakuasa di Iran jika negara itu gagal akur kepada tuntutannya
Menolak dakwaan bahawa tindakan sedemikian merupakan jenayah perang, Trump berkata dalam sidang media di Rumah Putih bahawa: “Seluruh negara itu boleh dimusnahkan dalam satu malam dan malam itu mungkin malam esok (Rabu pagi waktu Malaysia).”
Presiden itu turut memberikan ucapan pembukaan yang panjang mengenai kejayaan menyelamatkan dua anggota kru F-15 di Iran selepas pesawat dinaiki mereka terhempas yang disifatkannya seperti mencari jarum dalam timbunan jerami.
Namun, Trump turut mengulangi ancaman kemusnahan Iran menjelang tarikh akhir yang ditetapkannya sendiri kepada pemimpin Teheran. Tarikh akhir itu dijadual tamat pada Selasa pukul 8 malam waktu AS.
Iran mesti memeterai satu perjanjian yang melibatkan laluan bebas minyak melalui Selat Hormuz yang amat penting. Jika tidak ada perjanjian itu, kemusnahan menyeluruh akan berlaku di Iran dan ia akan berlaku dalam tempoh empat jam, kata Trump.
“Setiap jambatan di Iran akan dimusnahkan menjelang pukul 12 malam esok dan setiap loji janakuasa di Iran akan lumpuh, terbakar, meletup dan tidak akan dapat digunakan lagi,” tambahnya.
Trump menambah bahawa beliau sedang mempertimbangkan rancangan untuk mengenakan tol ke atas minyak yang melalui selat tersebut.
Beliau mengulangi ancaman Iran untuk melakukan perkara sama terhadap laluan air yang mengendalikan satu perlima daripada penghantaran minyak mentah global.
Amaran terbaharu daripada pemimpin berusia 79 tahun itu hadir hanya beberapa jam selepas beliau berkata semasa acara Easter Egg Roll di Rumah Putih bahawa cadangan gencatan senjata dengan Iran merupakan langkah yang sangat signifikan.
“Ia masih belum mencukupi, tetapi ia adalah satu langkah yang sangat signifikan,” kata Trump kepada wartawan.
Media kerajaan Iran melaporkan bahawa Teheran telah menolak gencatan senjata untuk menamatkan perang yang mereka labelkan sebagai cadangan Amerika.
Beberapa negara sedang berusaha mencari penyelesaian diplomatik bagi menamatkan perang yang telah berlarutan selama 38 hari. Perang itu tercetus susulan serangan Israel dan AS ke atas Iran yang kemudian bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu dan dron ke sasaran di seluruh Asia Barat.
Dalam satu hantaran media sosial yang mengandungi kata-kata kesat awal Ahad, Trump mengancam akan memulakan serangan terhadap infrastruktur awam Iran mulai Selasa. – AFP










