WASHINGTON: Badan kehakiman Iran pada Rabu menyifatkan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bahawa republik Islam itu telah menarik balik keputusan untuk menghukum mati lapan wanita sebagai berita palsu.
Menurut badan kehakiman itu, lapan wanita tersebut tidak pernah berdepan hukuman mati.
“Walaupun dakwaan malam tadi telah terbukti sebagai satu pembohongan, Trump beberapa minit lalu dalam satu lagi hantaran mendakwa bahawa hukuman mati terhadap lapan wanita yang menyertai protes dan sepatutnya dilaksanakan malam ini di Iran telah dibatalkan dan mengucapkan terima kasih kepada Iran!” menurut laman web badan kehakiman, Mizan Online dalam satu hantaran di platform X.
“Tangan kosong Trump di lapangan telah mendorongnya untuk mereka-reka pencapaian daripada berita palsu,” tambahnya.
Badan kehakiman itu mengulas kenyataan presiden AS itu bahawa Iran telah menghentikan rancangan untuk menghukum mati lapan wanita yang ditahan susulan protes anti-kerajaan, selepas beliau menggesa Teheran membebaskan mereka bagi membantu rundingan damai.
Terdahulu, Trump berkata, Iran telah menghentikan rancangan untuk menghukum mati lapan wanita yang ditahan berkaitan protes anti-kerajaan dan beliau menggesa Teheran membebaskan mereka bagi membantu rundingan damai.
“Saya amat menghargai bahawa Iran dan pemimpinnya telah menghormati permintaan saya sebagai presiden Amerika dan telah menghentikan pelaksanaan hukuman mati yang dirancang,” katanya di platform Truth Social milik beliau.
Kumpulan hak asasi manusia berkata sekurang-kurangnya seorang wanita yang ditahan semasa protes Januari telah dijatuhi hukuman mati. Namun, sekurang-kurangnya seorang lagi berdepan pertuduhan yang membawa hukuman mati.
Trump sebelum ini berkata di media sosial bahawa pembebasan wanita-wanita itu boleh memberi kelebihan kepada Iran dalam rundingan perang Iran yang bermula pada 28 Februari lalu.
Dalam hantaran di media sosial, Trump berkongsi semula dakwaan seorang aktivis bahawa lapan wanita berdepan hukuman gantung sampai mati.
Dakwaan itu tidak menyenaraikan nama, tetapi menyertakan gambar-gambar wanita tersebut.
Buat masa kini, AS melanjutkan tempoh gencatan senjata tanpa had dengan Iran selepas menguatkuasakannya pada 8 April lalu. – AFP/AGENSI










