SINGAPURA: Harga minyak mentah melonjak pada Isnin manakala niaga hadapan saham Amerika Syarikat (AS) menyusut selepas rundingan damai AS-Iran menemui jalan buntu, sekali gus memanjangkan gangguan eksport tenaga di Asia Barat.
Situasi itu mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur dan penggubal dasar menjelang minggu yang padat dengan mesyuarat bank pusat.
Lapor Reuters, penanda aras niaga hadapan minyak mentah Brent meningkat lebih dua peratus untuk mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga minggu iaitu pada AS$107.97 (RM426.76) setong dalam dagangan awal di pasaran Asia.
Kenaikan itu meningkatkan kebimbangan terhadap inflasi yang menyebabkan pedagang menjangkakan tiada pemotongan kadar faedah akan berlaku pada tahun ini.
Dalam pada itu, niaga hadapan S&P 500 menyusut 0.3 peratus selepas pasaran tunai mencatatkan rekod penutupan tertinggi pada Jumaat lalu hasil tumpuan pelabur terhadap sektor kecerdasan buatan (AI).
Mata wang dolar AS pula mencatatkan peningkatan kecil, manakala euro susut 0.15 peratus kepada AS$1.1706 (RM4.38) dan yen menyusut sedikit pada paras 159.53 (RM3.96) bagi setiap dolar.
Meskipun gencatan senjata telah menghentikan sebahagian besar pertempuran dalam peperangan yang dicetuskan oleh serangan AS-Israel ke atas Iran dua bulan lalu, pasaran kini memberikan tumpuan sepenuhnya kepada penutupan Selat Hormuz. Laluan laut kritikal itu menjadi punca utama di sebalik lonjakan harga tenaga dunia.
Minggu lalu, harga purata gas asli cecair (LNG) untuk penghantaran Jun ke timur laut Asia berada pada paras AS$16.70 (RM66) bagi setiap juta unit terma British, iaitu hampir 61 peratus lebih tinggi berbanding paras sebelum perang.
Penganalisis Goldman Sachs turut menaikkan unjuran harga minyak Brent akhir tahun secara mendadak daripada AS$80 (RM316.22) kepada AS$90 (RM355.75) setong.
Malah, ramalan itu hanya akan menjadi kenyataan sekiranya eksport Teluk kembali normal menjelang akhir Jun ini.
“Kenaikan harga yang drastik berkemungkinan besar berlaku jika simpanan minyak jatuh ke paras kritikal, sesuatu yang tidak pernah kita lihat dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini,” menurut penganalisis bank tersebut dalam satu nota penyelidikan.
Ketegangan diplomatik terus memuncak apabila Presiden AS, Donald Trump membatalkan lawatan utusannya ke Islamabad untuk rundingan damai pada hujung minggu lalu, meskipun Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi terus giat melakukan kunjungan ke negara-negara perantara bagi mencari jalan penyelesaian.










