TEL AVIV: Amaran serangan udara kedengaran di seluruh Israel awal pagi Jumaat, termasuk di pusat komersial Tel Aviv dan di bandar pesisir selatan Ashdod, susulan serangan roket dari Lubnan.
Pertempuran berterusan antara Israel dan Hizbollah yang disokong Iran sedang menguji gencatan senjata rapuh yang dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Israel dan Hizbollah saling berbalas tembakan berulang kali pada Khamis.
Pusat Pemerintah Barisan Hadapan Tentera Israel mengeluarkan amaran bagi beberapa kawasan susulan serangan roket pada Jumaat, termasuk kawasan sekitar Tel Aviv dan komuniti di selatan yang terletak jauh dari sempadan Lubnan.
Setakat ini, tiada laporan segera mengenai korban jiwa. Namun, media Israel melaporkan bahawa sistem pertahanan udara telah berjaya memintas sekurang-kurangnya sebutir roket yang masuk.
Hizbollah memuat naik beberapa kenyataan di aplikasi Telegram yang menyatakan kumpulan itu telah melancarkan tiga gelombang serangan roket dan dron pada awal pagi yang menyasarkan tentera Israel di kedua-dua belah sempadan, serta sebuah bandar di utara Israel. – AFP










