Israel tembak gas pemedih mata terhadap pelajar sekolah - Utusan Malaysia

Israel tembak gas pemedih mata terhadap pelajar sekolah

BEBERAPA pelajar sekolah di selatan bandar Yatta, selatan Tebing Barat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Pasukan Israel melepaskan tembakan gas pemedih mata ke arah pelajar sekolah Palestin yang mengadakan perhimpunan di Tebing Barat yang diduduki kelmarin, selepas peneroka haram Yahudi dilaporkan menyekat akses ke sekolah mereka.

Tentera Israel mengesahkan kepada AFP kononnya mereka membubarkan ‘perhimpunan pelajar luar biasa’, namun tidak memperincikan sama ada gas pemedih mata digunakan terhadap kanak-kanak berkenaan pada hari pertama sesi persekolahan sejak tercetusnya konflik Iran.

Insiden itu berlaku di kampung Umm al-Khair, di kawasan Masafer Yatta di selatan Tebing Barat.

Pelajar di kawasan berkenaan dijadualkan kembali ke kelas pada Isnin selepas lebih 40 hari pembelajaran terhenti susulan perang di Asia Barat yang bermula pada 28 Februari.

Wartawan AFP melaporkan, sekumpulan pelajar dan penduduk Palestin berkumpul berhampiran pagar kawat duri didirikan oleh peneroka haram Yahudi yang menghalang akses ke sekolah tersebut.

Pelajar sekolah dan beberapa penduduk tempatan mengadakan kelas terbuka sebagai membantah sekatan itu dan menuntut akses ke sekolah ketika tentera melepaskan tembakan gas pemedih mata, menurut saksi.

“Kami sedang duduk dan mereka menembak gas pemedih mata ke arah kami. Saya sangat takut dan mula menjerit lalu berlari,” kata seorang pelajar berusia 12 tahun, Sarah al-Hathaleen kepada AFP.

Pengarah pendidikan kawasan Masafer Yatta, Bassam Jabr, mengesahkan kanak-kanak tersebut sedang mengadakan perhimpunan ketika insiden berlaku.

“Peneroka cuba mengetatkan tekanan ke atas kami dalam pelbagai cara. Salah satunya ialah memutuskan jalan untuk pelajar sekolah dan memperluas penempatan,” katanya. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN