14 terbunuh, puluhan cedera kereta api, tren bertembung dekat Jakarta - Utusan Malaysia

14 terbunuh, puluhan cedera kereta api, tren bertembung dekat Jakarta

SEBUAH kereta api dan tren komuter bertembung dekat Bekasi semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Jumlah korban maut akibat perlanggaran sebuah kereta api dan tren komuter pada waktu malam di luar Jakarta telah meningkat dua kali ganda kepada 14 orang di pinggir ibu kota Indonesia semalam, kata syarikat kereta api milik kerajaan KAI pada Selasa.

“Berdasarkan data terkini setakat pukul 08.45 pagi waktu tempatan, 14 orang telah disahkan meninggal dunia,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, seramai 84 lagi orang menerima rawatan di hospital.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengarahkan satu siasatan pada Selasa selepas sebuah kereta api jarak jauh merempuh tren komuter yang tidak bergerak pada waktu malam.

Prabowo melawat pesakit di hospital di Bekasi, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan berkata, beliau telah mengarahkan satu siasatan segera dilakukan.

Beliau  juga mengarahkan pembinaan sebuah jejambat di Bekasi.

“Secara umum, kita memang melihat bahawa banyak lintasan kereta api tidak dijaga.. 

“Saya telah mengarahkan supaya kita segera membaiki semua lintasan ini, sama ada dengan pos pengawal atau jejambat,” ujarnya.

Ketua Polis Jakarta, Asep Edi Suheri berkata, kereta api jarak jauh itu merempuh gerabak terakhir tren komuter yang dikhaskan untuk wanita.

“Semua mangsa berada dalam tren komuter dan kesemua lebih 240 penumpang dalam kereta api satu lagi telah dipindahkan dengan selamat,” kata Anne Purba, jurucakap rangkaian kereta api KAI.

Seorang mangsa terselamat menceritakan detik cemas apabila sebuah tren jarak jauh merempuh tren komuter sedang berhenti, menyebabkan penumpang terperangkap di dalam gerabak yang remuk.

“Saya sangka saya akan mati,” kata Sausan Sarifah, 29, kepada AFP dari katil Hospital RSUD Bekasi. Beliau mengalami patah tangan dan luka dalam di bahagian paha akibat kejadian itu.

Sausan yang dalam perjalanan pulang dari tempat kerja berkata, tren komuter yang dinaikinya berhenti di stesen Bekasi Timur, kira-kira 25 kilometer dari Jakarta, sebelum rempuhan berlaku.

“Segala-galanya berlaku terlalu pantas, dalam sekelip mata sahaja. Tiba-tiba, terdengar bunyi lokomotif yang sangat kuat. Kami tidak sempat keluar dan semua orang bertindih antara satu sama lain di dalam tren. 

“Saya tidak tahu bagaimana keadaan orang yang berada di bawah saya,” katanya yang turut meluahkan kebimbangan ada mangsa yang maut akibat sesak nafas dalam timbunan tersebut.

Menurut jurucakap operator KAI, Franoto Wibowo, siasatan awal mendapati sebuah teksi dipercayai telah bergesel dengan tren komuter tersebut di lintasan, menyebabkannya terhenti di atas landasan sebelum dirempuh.

Suasana di lokasi kejadian dilaporkan hancur dan kelam-kabut dengan pasukan penyelamat menjerit meminta tong oksigen, manakala barisan ambulans menunggu untuk membawa mangsa ke hospital dengan kawalan ketat pihak berkuasa.- AGENSI/AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN