JUBA: Sebuah pesawat kecil terhempas pada Isnin di Sudan Selatan berhampiran ibu kota Juba, mengorbankan 13 penumpang dan seorang juruterbang, kata pihak berkuasa tempatan.
Selain ketidakstabilan, konflik dan kemiskinan, Sudan Selatan juga kekurangan infrastruktur pengangkutan yang boleh dipercayai dengan insiden kemalangan pesawat kerap dikaitkan dengan muatan berlebihan dan cuaca buruk.
Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Sudan Selatan, pesawat jenis Cessna itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juba pada pukul 07.15 GMT atau 3.15 petang waktu Malaysia dan terhempas kira-kira 20 kilometer dari ibu kota tanpa ada yang terselamat.
Ia menyatakan laporan awal menunjukkan punca kejadian adalah keadaan cuaca buruk, khususnya jarak penglihatan rendah.
Mangsa termasuk 12 warga Sudan Selatan dan dua warga Kenya.
“Semua mayat hangus sehingga tidak dapat dikenali,” kata seorang anggota pasukan penyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dihantar ke lokasi kejadian yang bercakap dengan syarat tidak dinamakan.
Dua puluh orang terkorban pada Januari 2025 dalam satu lagi kemalangan pesawat di utara Sudan Selatan.
Pada 2021, lima orang terbunuh apabila sebuah pesawat kargo yang membawa bahan api untuk Program Makanan Sedunia (WFP) terhempas.
Pada 2015, nahas pesawat Antonov era Soviet di Juba mengorbankan 36 orang.
Pada 2017, sebuah pesawat yang terkeluar dari landasan melanggar trak bomba sebelum terbakar, namun semua 37 orang di dalamnya terselamat. – AFP










