RIYADH: Pejabat Luar Negara dan Komanwel (FCO) sedang merangka pelan untuk memindahkan puluhan ribu warganegara Britain sekiranya perang di Asia Barat semakin buruk, menurut beberapa media Britain.
Terdapat percanggahan mengenai bilangan warganegara Britain yang menetap, bercuti atau melakukan perjalanan di seluruh Teluk, tetapi FCO berkata, setakat ini 76,000 telah mendaftar kehadiran mereka di kawasan terjejas di rantau itu.
Menurut The Guardian, lebih 50,000 dipercayai berada di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan kebanyakan adalah pelancong atau pengembara lain, bukan penduduk tetap, dengan Dubai menjadi destinasi pelancongan dan perniagaan utama.
Ruang udaranya kini ditutup, meninggalkan pelancong tanpa rancangan jelas untuk pulang.
Pejabat kedutaan mengeluarkan amaran tidak melakukan perjalanan ke Iran, Israel dan Palestine. Ia juga menasihati agar hanya melakukan perjalanan penting ke Qatar, Kuwait dan Bahrain, serta mengelak beberapa bahagian Pakistan.
Warganegara Britain di Arab Saudi turut dinasihatkan tinggal di rumah, manakala mereka yang berada di Jordan, Oman, Syria, Lubnan, Yemen dan Iraq perlu berhati-hati berikutan ketegangan serantau yang meningkat.
Setiausaha FCO, Yvette Cooper dijangka membuat kenyataan pertamanya mengenai krisis ini pada Isnin. Sementara itu, Perdana Menteri Britain, Keir Starmer menyuarakan solidariti terhadap negara-negara di Asia Barat yang berdepan serangan Iran ketika beliau berbual dengan pemimpin Bahrain dan Cyprus.
Sementara itu, portal berita dalam talian utama Semafor melaporkan Riyadh muncul sebagai laluan keluar utama bagi golongan superkaya dan eksekutif kanan yang terperangkap di Teluk dan sedang mencari laluan selamat keluar dari bandar-bandar besar seperti Abu Dhabi, Dubai dan Doha.
Lapangan terbang di ibu negara Arab Saudi itu adalah antara yang masih beroperasi di rantau ini, memaksa eksekutif dan keluarga mereka yang terperangkap di bahagian lain Teluk mengambil perjalanan panjang untuk menaiki pesawat persendirian atau penerbangan komersial dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khaled, menurut Semafor.
Syarikat keselamatan persendirian menempah armada SUV untuk mengangkut individu berpendapatan tinggi dan eksekutif kanan dalam perjalanan 10 jam ke Riyadh dari Dubai, sebelum menaiki pesawat persendirian keluar dari rantau ini.
“Arab Saudi adalah satu-satunya pilihan sebenar bagi mereka yang mahu keluar dari rantau ini sekarang,” kata Ketua Eksekutif Vimana Private, Ameerh Naran. Beliau memberitahu Semafor harga penerbangan persendirian dari Riyadh ke Eropah kini mencecah sehingga AS$350,000 (RM1.3 juta)










