WASHINGTON/TEHERAN: Presiden Donald Trump berkata pada Ahad bahawa Amerika Syarikat (AS) akan menyerang Iran dengan kekuatan yang belum pernah disaksikan sebelum ini jika negara itu membalas serangan AS dan Israel yang membunuh pemimpin tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, Sabtu lalu.
Trump, yang berikrar untuk melakukan perubahan rejim di republik Islam itu menulis di platform Truth Social miliknya bahawa beliau akan menyerang dengan sangat keras, lebih keras daripada yang pernah mereka dilakukan sebelum ini.
“Lebih baik mereka jangan buat begitu (melancarkan serangan balas). Namun, jika mereka buat, kami akan menyerang mereka dengan kekuatan yang belum pernah disaksikan sebelum ini,” tulisnya.
Kempen pengeboman oleh AS dan Israel yang menyusuli peningkatan besar-besaran ketenteraan di Asia Barat yang tidak pernah dilihat sejak pencerobohan Iraq pada 2003 telah membunuh Khamenei, menurut pengesahan televisyen negara Iran pada Ahad.
Media Iran turut melaporkan pada Ahad bahawa anak perempuan, menantu lelaki dan cucu perempuan Khamenei telah terbunuh dalam serangan AS dan Israel.
SERANGAN
Iran sejak itu telah membalas dengan melancarkan serangan di seluruh rantau Teluk, termasuk di ibu negara Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi dan berhampiran pangkalan tentera AS di rantau tersebut.
Trump berkata, pengeboman AS akan diteruskan selagi perlu dan menyatakan kematian Khamenei memberi rakyat Iran peluang terbesar untuk merampas kuasa daripada rejim semasa.
Letupan baharu kedengaran di bandar-bandar Teluk, Dubai, Doha dan Manama semalam, susulan serangan Iran di rantau Asia Barat sebagai tindak balas terhadap serangan AS dan Israel.
Wartawan AFP dan penduduk di ibu kota Arab Saudi, Riyadh, mendengar dentuman kuat dan letupan di bahagian timur bandar pada Ahad, ketika Iran meneruskan gelombang serangan balas terhadap serangan AS dan Israel di seluruh rantau Teluk.
Penduduk di kawasan timur Riyadh memberitahu AFP bahawa mereka mendengar beberapa bunyi letupan kuat dan melihat asap naik, manakala wartawan juga mendengar bunyi yang sama.
Sebuah pelabuhan di Oman dan sebuah kapal tangki minyak di luar perairannya diserang pada Ahad, menurut media rasmi, menandakan serangan pertama ke atas negara itu yang menjadi pengantara perbincangan AS-Iran sejak Teheran melancarkan kempen balas.
Serangan Iran di Teluk telah menimbulkan kebimbangan tentang konflik lebih meluas dan menggugat rantau yang selama ini dianggap sebagai kawasan aman dan stabil di Asia Barat yang bergolak.
“Sumber keselamatan melaporkan bahawa dua dron menyasarkan pelabuhan komersial Duqm ,” kata agensi berita Oman News Agency dalam hantaran di media sosial.
“Satu dron mengenai penginapan pekerja mudah alih, mencederakan seorang pekerja asing, manakala serpihan dron kedua mendarat berhampiran tangki bahan api tanpa menyebabkan kecederaan atau kerosakan harta benda,” tambahnya.
Kapal
Oman turut melaporkan sebuah kapal tangki minyak disasarkan di luar pantai. Kru-kru kapal telah dipindahkan dan empat daripadanya cedera, menurut laporan agensi berita itu.
Hari kedua serangan itu menyusuli serangan maut sebelumnya, dengan dua orang awam terbunuh di Abu Dhabi, apabila Iran menyasarkan pangkalan tentera serta infrastruktur awam di seluruh rantau Teluk pada Sabtu.
Penasihat presiden UAE, Anwar Gargash, mengecam Teheran dan menyifatkan serangan ke atas negara-negara Teluk itu sebagai satu salah perhitungan.
“Ia mengasingkan Iran pada saat yang kritikal. Perang anda bukan dengan jiran-jiran anda,” kata Gargash.
Dalam pada itu, tentera Israel berkata, ia telah memusnahkan separuh daripada stok peluru berpandu Iran.
Tentera Israel turut berkata pada Ahad bahawa ia telah mula menyerang sasaran jauh di dalam Teheran, sehari selepas serangan bersama AS-Israel.
Sebelum ini, Tentera Udara Israel telah melaksanakan serangan berskala besar bagi mewujudkan penguasaan udara dan membuka laluan ke Teheran.
Ketua perisikan polis Iran, Gholamreza Rezaian, terbunuh dalam serangan AS dan Israel ke atas republik Islam itu, lapor media tempatan pada Ahad. – AFP










