KUALA LUMPUR: Perkembangan tindakan ketenteraan di Asia Barat memberi kesan langsung kepada dagangan dan ekonomi Malaysia.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengakui situasi semasa mewujudkan risiko tinggi terhadap perdagangan global selain berpotensi mengganggu rantaian bekalan antarabangsa.
“Apabila berlaku peperangan, sudah tentu ia menjejaskan aliran perdagangan. Ada kapal yang tidak dapat memasuki pelabuhan seperti biasa.
“Semalam misalnya, beberapa penerbangan terpaksa berpatah balik dan ada yang tidak dapat diteruskan. Ini antara bentuk gangguan kepada ekonomi negara dan dunia,” katanya pada sidang media Majlis Sentuhan Ramadan: Memasak dan Mengedar Bubur Lambuk, Sumbangan Kaca Mata Belia Sekolah serta Majlis Berbuka Puasa di sini, hari ini.
Menurut beliau, konflik yang berterusan boleh menyebabkan dagangan terpaksa melalui laluan lebih jauh, sekali gus meningkatkan kos dan memberi tekanan kepada ekonomi.
Terdahulu ketika berucap merasmikan majlis itu, Johari menggesa penyertaan golongan belia, khususnya pemimpin mahasiswa institusi pengajian tinggi di Parlimen Titiwangsa, terus diperkasakan melalui program kemasyarakatan.
Katanya, penglibatan aktif dalam komuniti mampu memupuk nilai murni serta kefahaman mengenai sejarah dan keunikan setempat, selain mengelakkan golongan itu daripada dimanipulasi pihak berkepentingan.
“Saya mahu lebih ramai belia terlibat dalam program komuniti supaya mereka lebih memahami isu setempat.
“Jika tiada dana untuk menganjurkan program, saya sedia memberi tajaan kerana usaha ini penting agar mereka tidak mudah dipengaruhi pihak yang mahu mengambil kesempatan,” katanya. – UTUSAN










