WASHINGTON: Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) sekali lagi gagal meluluskan rang undang-undang (RUU) untuk membuka semula Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), di tengah-tengah penutupan separa selama hampir sebulan.
Usul itu gagal dengan undian 51-46, apabila anggota dewan tertinggi itu masih gagal mencapai kata sepakat mengenai kawalan yang lebih ketat terhadap penguatkuasaan imigresen persekutuan.
Hanya Senator John Fetterman menjadi satu-satunya anggota Demokrat yang menyokong RUU itu bersama Republikan.
RUU, yang akan membiayai DHS sehingga September, memerlukan sekurang-kurangnya 60 undi untuk diluluskan.
Ini menandakan kali keempat sejak 12 Februari lalu, Demokrat mengundi untuk menyekat undang-undang pembiayaan DHS.
Undian tersebut menutup satu hari penuh pertikaian di Senat AS antara Demokrat dan Republikan mengenai cara untuk mengatasi kebuntuan pembiayaan.
Demokrat membantah RUU peruntukan DHS kerana merangkumi pembiayaan untuk Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE). Ia termasuk agensi Perlindungan Kastam dan Sempadan (CBP). Dua agensi itu didakwa memerlukan pembaharuan selepas ejen persekutuan membunuh dua warganegara AS di Minneapolis.
“Semua tahu kita tidak bersetuju mengenai cara menangani ICE. Apa yang jelas ialah Demokrat mahu ICE beroperasi seperti mana-mana jabatan polis di Amerika, menggunakan waran dan tidak memakai topeng,” kata pemimpin Demokrat dari New York, Chuck Schumer sebelum undian.
Ketua Majoriti Senat Republikan, John Thune, menuduh Demokrat menghalang perunding Rumah Putih berhubung tawaran terbaharu mereka untuk membuat beberapa pembaharuan ke atas penguatkuasaan imigresen dalam usaha membuka semula DHS.
“Banyak tawaran dibuat berulang kali, yang terbaharu ialah 13 hari lalu,” kata Thune.
Dalam perbincangan spontan bersama Schumer, Thune mencadangkan agar Senat meluluskan resolusi pembiayaan jangka pendek untuk membuka semula operasi DHS.
Schumer kemudian mengemukakan satu cadangan yang hanya membiayai Agensi Keselamatan Pengangkutan (TSA) bagi mengurangkan kesesakan di lapangan terbang.- AGENSI










