TEHERAN:Iran memperhebat serangan ke atas kemudahan minyak dan pengangkutan di seluruh wilayah Teluk, sehingga menyumbang kepada kenaikan mendadak harga minyak global di tengah-tengah konflik yang berlaku sejak Amerika Syarikat (AS)‑Israel melancarkan serangan ke atas negara itu pada 28 Februari lalu.
Sekurang-kurangnya enam kapal telah diserang di Teluk dan Selat Hormuz. Ia termasuk dua kapal tangki bahan api yang berdaftar di Iraq yang terkena serangan bot sarat bahan letupan milik Iran, menyebabkan kebakaran dan sekurang-kurangnya seorang kru terkorban.
Beberapa kapal dagang lain, termasuk yang berdaftar di Thailand, Jepun dan Kepulauan Marshall turut rosak atau terkena projektil Iran di kawasan tersebut.
Kapal-kapal yang disasarkan dalam serangan lewat malam pada Rabu di Teluk berhampiran Iraq ialah Safesea Vishnu dan Zefyros. Masing-masing berdaftar di Kepulauan Marshall dan membawa kargo bahan api dari Iraq, menurut dua pegawai pelabuhan Iraq yang dipetik oleh agensi berita Reuters.
Seorang sumber keselamatan pelabuhan Iraq berkata, kapal Zefyros pula berdaftar di Malta.
“Sebuah bot milik Syarikat Pelabuhan Iraq telah menyelamatkan 25 kru daripada kedua-dua kapal itu. Kebakaran berlaku di kedua-dua kapal,” kata Pengarah Urusan Syarikat Pelabuhan Am Iraq (GCPI), Farhan al-Fartousi, yang dikendalikan oleh kerajaan, kepada agensi berita Reuters.
KAPAL DISERANG
Seorang kru dari India yang berada di atas kapal tangki minyak mentah milik Amerika terkorban apabila kapal itu diserang berhampiran Basra, kedutaan India di Baghdad memaklumkan pada Khamis.
Dalam hantaran di platform X, kedutaan itu berkata baki 15 anak kapal India dari Safesea Vishnu, yang berlayar di bawah bendera Kepulauan Marshall Islands telah dipindahkan ke lokasi selamat.
Al-Fartousi memberitahu agensi berita kerajaan Iraq bahawa pelabuhan minyak telah berhenti operasi sepenuhnya susulan serangan itu. Namun, pelabuhan komersial masih beroperasi.
Agensi berita Reuters melaporkan bahawa penggunaan kapal tanpa pemandu yang dilengkapi bahan letupan telah digunakan Ukraine dengan keberkesanan tinggi dalam perang mereka dengan Russia tetapi kini berlaku ketika Iran menyekat penghantaran minyak melalui Selat Hormuz.
Selat itu merupakan laluan strategik yang mengangkut satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, tetapi kini terhalang akibat perang antara AS dan Israel terhadap Iran.
Menurut Reuters, memetik dua sumber tanpa nama, pada Rabu, Iran telah ‘meletakkan’ kira-kira 12 alat letupan di selat tersebut.
Susulan itu, Presiden AS, Donald Trump berkata, pasukan AS telah menyerang 28 kapal penabur bahan letupan Iran. Beliau juga memberi amaran mengenai tindakan balas yang teruk jika Iran ‘meletakkan’ alat letupan di laluan air penting untuk perkapalan global.
SELAT DISEKAT
Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran (IRGC) memberi amaran bahawa mana-mana kapal yang melalui Selat Hormuz akan menjadi sasaran.
Awal pada Khamis, pusat .Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan bahawa sebuah projektil tidak dikenal pasti telah menyerang sebuah kapal kontena, menyebabkan kebakaran kecil, 35 batu nautika dari utara Jebel Ali di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Anak-anak kapal itu bagaimanapun dilaporkan selamat.
Sementara itu, tentera Israel berkata ia telah memulakan gelombang serangan berskala luas baharu ke atas sasaran di seluruh Iran, termasuk infrastruktur, pada hari ke‑13 konflik antara AS dan Israel dengan Iran.
Dalam kenyataan itu, tentera Israel berkata, mereka menyasarkan pelbagai lokasi. Serangan ini berlaku selepas penggera serangan peluru berpandu diaktifkan di Israel dan tindak balas daripada pelbagai pihak di rantau tersebut, yang telah menyaksikan peningkatan operasi ketenteraan sejak konflik tercetus.
Pihak berkuasa di Dubai melaporkan serangan dron dan serpihan yang jatuh di dua lokasi. Sebahagiannya akibat serpihan dari sistem pertahanan udara yang menangkis projektil musuh.
Menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Iran, sekitar 21,720 bangunan di Iran telah terjejas akibat serangan berterusan sejak 28 Februari, termasuk 4,122 premis komersial dan 17,353 kediaman selain turut menjejaskan pusat kesihatan, sekolah serta infrastruktur kemanusiaan.
Dalam pada itu, Trump mengancam bahawa AS mampu menjadikan Iran hampir mustahil untuk dibangunkan semula.
Beliau berkata bahawa Iran berada di ambang kekalahan, sambil menambah bahawa serangan AS ke atas negara itu boleh menjadikannya hampir mustahil untuk dibina semula. – AGENSI











