WASHINGTON: Presiden Donald Trump berkata pada Isnin bahawa operasi ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di Iran akan berakhir tidak lama lagi menyebabkan pasaran yang sebelum ini dilanda kekacauan akibat perang yang masih berlaku di seluruh Asia Barat kembali tenang.
Perang itu menyebabkan pasaran saham merosot dan harga minyak melonjak pada Isnin apabila Teheran, di bawah pemimpin baharu Mojtaba Khamenei, melancarkan satu lagi gelombang serangan peluru berpandu ke atas negara-negara jirannya di Teluk serta memberi isyarat bahawa laluan strategik Selat Hormuz kemungkinan besar akan terus ditutup.
Namun, bursa saham di Wall Street, New York kembali mencatatkan kenaikan selepas kenyataan Trump yang memberi gambaran perang itu akan berlangsung singkat, dengan pasaran di Tokyo, Jepun dan Seoul, Korea Selatan turut dibuka kukuh pada Selasa, walaupun presiden itu terus mengancam untuk memperluaskan kempen tersebut jika Iran tidak mematuhi tuntutan.
Harga minyak juga berubah arah, jatuh sebanyak lima peratus sehari selepas minyak mentah penanda aras melonjak melepasi AS$100 setong (RM393), paras tertinggi sejak pencerobohan Russia ke atas Ukraine 2022.
“Ia akan berakhir tidak lama lagi, dan jika ia bermula semula mereka akan diserang dengan lebih teruk lagi,” kata Trump dalam sidang media di Florida selepas memberitahu wakil-wakil rakyat parti Republikan bahawa kempen itu hanya merupakan operasi jangka pendek.
Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran turut memberikan reaksi kenyataan Trump itu pada Selasa bahawa bukan Amerika, yang akan menentukan pengakhiran perang tetapi Teheran.
Kenyataan Trump dibuat pada hari pertama Mojtaba, 56, iaitu anak lelaki pemimpin yang maut dalam serangan AS-Israel pada 28 Februari lalu, Ayatollah Ali Khamenei, memegang kuasa.
Namun, pasukan Iran melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu dan dron ke atas Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Israel.
Sebuah lagi peluru berpandu turut dilancarkan ke arah anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Turkiye, kejadian kedua seumpamanya dalam tempoh lima hari, namun sistem pertahanan udara pakatan itu berjaya memintasnya sebelum mencapai sasaran.
Usaha diplomatik pada Isnin tertumpu kepada laluan strategik Selat Hormuz, yang kini disekat kepada hampir semua kapal tangki minyak , sehingga menggegarkan ekonomi global. – AFP










