SEOUL: Amerika Syarikat (AS) memulakan latihan ketenteraan berskala besar bersama Korea Selatan yang melibatkan ribuan anggota pada Isnin, ketika perangnya di Asia Barat terus memuncak.
Ketua Staf Gabungan Korea Selatan berkata, kira-kira 18,000 askar Korea akan mengambil bahagian dalam latihan Freedom Shield, yang berlangsung sehingga 19 Mac.
Pasukan tentera AS belum mengesahkan bilangan anggotanya yang menyertai latihan di Korea Selatan.
Latihan bersama sekutu itu berlaku di tengah spekulasi media Korea Selatan mengenai Washington sedang memindahkan sebahagian aset dari Korea Selatan untuk menyokong operasi pertempuran menentang Iran.
Pasukan AS di Korea minggu lalu berkata, ia tidak akan mengulas mengenai pergerakan aset ketenteraan tertentu atas alasan keselamatan.
Pegawai Korea Selatan juga enggan mengulas laporan beberapa sistem antipeluru berpandu Patriot AS dan peralatan lain sedang dipindahkan ke Asia Barat, namun mendakwa ia tidak akan memberi kesan ketara terhadap kedudukan pertahanan gabungan sekutu.
Latihan Freedom Shield mungkin mencetuskan tindak balas menjengkelkan daripada Korea Utara.
Sejak sekian lama, Pyongyang menggambarkan ia sebagai latihan pencerobohan dan menjadikannya alasan untuk meningkatkan demonstrasi ketenteraan serta ujian senjatanya sendiri.
Bagaimanapun, AS menegaskan latihan tersebut bersifat pertahanan.
Korea Utara menggantung semua dialog dengan Washington dan Seoul susulan kegagalan sidang kemuncak pada 2019 antara pemimpinnya, Kim Jong-un dan Presiden AS, Donald Trump, ketika penggal pertama beliau. – AGENSI










