Penjawat awam Bangladesh diarah padam lampu - Utusan Malaysia

Penjawat awam Bangladesh diarah padam lampu

KERAJAAN Bangladesh melaksanakan pelbagai langkah bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan api. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Bangladesh telah mengarahkan penjawat awam supaya memadamkan lampu dan mengurangkan penggunaan penyaman udara bagi menjimatkan tenaga susulan perang di Asia Barat yang memburukkan lagi krisis tenaga, kata pegawai pada Isnin.

Negara Asia Selatan yang mempunyai 170 juta penduduk itu mengimport 95 peratus keperluan minyak dan gasnya.

Kementerian Pentadbiran Awam telah mengeluarkan beberapa arahan berkaitan kehadiran di pejabat serta langkah penjimatan elektrik dan bahan api, kata pegawai kementerian, Sakhawat Hossain kepada AFP pada Isnin.

“Hanya jumlah lampu, kipas, penyaman udara dan peralatan elektrik lain yang benar-benar diperlukan sahaja harus digunakan,” menurut arahan yang dikeluarkan lewat Ahad.

Arahan itu juga mengingatkan pekerja supaya memadamkan lampu apabila meninggalkan pejabat dan menetapkan suhu penyaman udara mesti diselaraskan pada 25 darjah Celsius atau lebih tinggi.

Bangladesh turut memaklumkan bahawa negara itu sedang berusaha mendapatkan pinjaman sekitar AS$2 bilion (RM8 bilion) daripada pelbagai penderma  bagi menangani kebimbangan berkaitan tenaga.

Kerajaan sebelum ini telah mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan penggunaan bahan api. Ini termasuk menetapkan had pembelian bahan api, menghentikan operasi kebanyakan kilang baja dan mengerahkan anggota polis untuk meronda stesen minyak. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN