AUSTIN: Pihak polis mendedahkan suspek bersenjata yang melepaskan tembakan di sebuah bar di Texas kemungkinan besar merupakan seorang pengganas yang bermotifkan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran.
Dalam kejadian berdarah pada awal pagi Ahad itu, dua orang maut manakala 14 lagi cedera di sebuah bar yang sesak di Austin, sebelum pegawai polis berjaya menembak mati penyerang berkenaan.
Sumber penguatkuasa undang-undang mengenal pasti penembak tersebut sebagai Ndiaga Diagne, 53, seorang warganegara AS yang berasal dari Senegal dan merupakan bekas penduduk New York.
Pegawai FBI dalam satu sidang media menyatakan suspek memiliki bahan-bahan yang menunjukkan potensi kaitan dengan aktiviti keganasan.
Laporan Fox News menyebut suspek kemungkinan memakai baju dalam yang mempunyai imej bendera atau lambang berkaitan Iran.
Ketua Polis Austin, Lisa Davis memaklumkan, tragedi itu berlaku di bar Buford’s di West Sixth Street, daerah hiburan Austin, kira-kira pukul 2 pagi (waktu tempatan).
Suspek dilaporkan tidak memasuki bar tersebut, sebaliknya melepaskan tembakan ke arah pelanggan dari jalan raya menggunakan pistol dan raifal.
Secara keseluruhan, 17 orang terkena tembakan dalam kejadian tersebut.
Tiga orang disahkan maut di lokasi kejadian termasuk suspek, manakala 14 lagi dikejarkan ke hospital dengan tiga daripada mereka kini berada dalam keadaan kritikal.
Rekod menunjukkan Diagne mempunyai sejarah tangkapan di Texas dan pernah menetap di New York dari tahun 2000 hingga 2008.
Davis menyifatkan kejadian itu sebagai insiden yang sangat tragis dan memuji keberanian pegawainya yang pantas bertindak balas terhadap individu bersenjata tersebut. -AGENSI










