Lubnan haramkan aktiviti ketenteraan Hezbollah

Lubnan haramkan aktiviti ketenteraan Hezbollah

ASAP menjulang tinggi akibat serangan Israel di Beirut semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Kerajaan Lubnan pada Isnin mengumumkan pengharaman menyeluruh dan serta-merta terhadap semua aktiviti ketenteraan serta keselamatan Hezbollah. 

Keputusan drastik ini dibuat selepas serangan roket kumpulan itu ke arah Israel mencetuskan serangan udara balas yang mengorbankan 31 nyawa di Lubnan.

Susulan mesyuarat Kabinet, Perdana Menteri Lubnan, Nawaf Salam, menggesa kumpulan itu supaya menyerahkan segala senjata haram mereka kepada negara dan kekal berfungsi sebagai sebuah parti politik sahaja.

Salam turut mengarahkan pasukan keselamatan supaya menghalang sebarang tindakan ketenteraan oleh Hezbollah dan menangkap mana-mana individu yang melanggar arahan tersebut.

“Tentera mesti meneruskan pelaksanaan rancangannya untuk melucutkan senjata kumpulan bersenjata dengan apa jua cara sekalipun,” tegas beliau, sambil mengulangi bahawa keputusan mengenai perang dan damai terletak sepenuhnya di tangan kerajaan.

Menyahut keputusan kerajaan itu, pegawai kanan Hezbollah, Mohammed Raad menyatakan bahawa pihaknya memahami hak Lubnan bagi menentukan keputusan perang atau damai, namun mereka tidak melihat wujudnya kewajipan untuk mengenakan keputusan yang keras terhadap pihak menentang penjajahan. 

Raad, yang juga ketua blok parlimen kumpulan itu, mengutuk keputusan Beirut yang dianggapnya sebagai angkuh dan mendakwa bahawa rakyat Lubnan sebenarnya mengharapkan keputusan yang menolak pencerobohan Israel.

Terdahulu, Hezbollah melancarkan serangan roket dan dron ke utara Israel sebagai balas dendam susulan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei terbunuh dalam operasi bersama Amerika Syarikat (AS)-Israel di Teheran pada Sabtu.

Tentera Israel bertindak balas dengan melancarkan siri serbuan udara ke atas Dahyeh, pinggir bandar selatan Beirut dan di seluruh selatan Lubnan sepanjang malam Isnin.

Pada pagi Isnin, tentera Israel sekali lagi melakukan serangan udara ke atas Dahiyeh, beberapa bandar di selatan Lubnan dan Lembah Beqaa, di timur. Israel menyatakan hasrat mereka untuk memperhebatkan lagi kempen pengeboman tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN