PRISTINA: Kosovo merancang menghantar pasukan tenteranya ke Semenanjung Gaza dalam tempoh beberapa bulan lagi bagi menyertai pasukan penstabilan antarabangsa di wilayah Palestin itu.
Menteri Pertahanan Ejup Maqedonci memberitahu Radio Television of Kosovo (RTK), beliau mengusulkan kerajaan supaya membuat keputusan politik bagi meluluskan penempatan tersebut.
Beliau berkata, proses itu kini berada pada peringkat akhir, dengan perbincangan tertumpu kepada peranan dan kapasiti yang akan diambil oleh tentera Kosovo di Gaza.
Menurutnya, selepas keputusan politik dibuat, Pasukan Keselamatan Kosovo (FSK) perlu mendapat kebenaran daripada Kongres negara itu manakala penempatan tentera ke luar negara juga mesti diluluskan oleh presiden.
Maqedonci berkata, walaupun Kosovo bukan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penyertaan dalam misi yang diberi mandat oleh badan itu akan menjadi penempatan pertama seumpamanya bagi negara tersebut serta satu pencapaian besar di peringkat nasional.
Beliau menyifatkan penglibatan tersebut sebagai penting dari sudut strategik.
“Memberi sumbangan kepada keamanan, menyokong keselamatan dan membantu aspek kemanusiaan sentiasa menjadi keutamaan kami,” katanya.
FSK turut memaklumkan Komandernya, Bashkim Jashari, mengadakan sidang video dengan Komander Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), Leftenan Jeneral Jasper Jeffers dari Amerika Syarikat (AS).
Jashari memberitahu Jeffers, tentera Kosovo bersedia menyertai operasi tersebut dan menegaskan FSK ialah pasukan profesional yang dilatih mengikut piawaian Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta bersedia memberikan sokongan keselamatan jika diminta oleh negara rakan.
Jeffers pula menyifatkan Kosovo sebagai rakan penting dalam usaha mempromosikan keamanan dan kestabilan global.- AGENSI










