SHENZHEN: Sebuah pusat permainan di China menerima kecaman hebat selepas menggunakan hamster hidup sebagai hadiah dalam mesin miliknya untuk menarik pelanggan.
Premis yang terletak di sebuah pusat beli-belah di Shenzhen, wilayah Guangdong itu dilaporkan mengisi mesin tersebut dengan hamster bagi menggantikan patung permainan biasa.
Tindakan itu mencetuskan kemarahan warganet, dengan ramai pihak menuduh kedai berkenaan melakukan penganiayaan terhadap haiwan.
Berdasarkan rakaman video yang tular, hamster-hamster tersebut dilihat meringkuk ketakutan di sudut mesin.
Klip video itu juga menunjukkan haiwan-haiwan berkenaan mengalami tanda-tanda tekanan yang jelas akibat persekitaran pusat permainan yang bising serta gangguan daripada alat penyangkut logam yang sesekali terkena badan mereka.
Turut didedahkan ketika kedai itu ditutup sempena cuti Tahun Baharu Cina pada Februari lalu, tiada sesiapa yang ditugaskan untuk memberi makan kepada hamster-hamster berkenaan.
Beberapa pihak cuba membuat laporan namun hanya menerima maklum balas bahawa perkara itu tidak dapat ditangani kerana Shenzhen tidak mempunyai undang-undang perlindungan haiwan, lapor Southern Metropolis Daily.
Susulan kontroversi dalam talian tersebut, kedai itu didapati sudah mengeluarkan mesin berkenaan secara senyap-senyap dan menggantikannya dengan beberapa mesin mencedok ikan dan kura-kura yang baharu.
Apabila ditanya mengapa hamster tersebut dialihkan, seorang kakitangan mendakwa mereka tidak dibenarkan memelihara hamster.
Namun, pemeriksaan mendapati lebih 100 ekor ikan kecil ditempatkan di dalam satu bekas tunggal dan peralatan pembersihan tidak diasingkan daripada tangki tersebut.
Malah, tiada sebarang tanda yang menunjukkan kedai itu memiliki lesen perniagaan haiwan atau sijil pencegahan wabak haiwan.
Seorang lagi kakitangan kemudian mendedahkan bahawa semua haiwan hidup telah dialihkan sepenuhnya pada minggu lalu.
Peguam Zhang Zi’ang dari Firma Guaman Beijing Dacheng berkata, penggunaan haiwan hidup dalam mesin berkenaan mungkin telah melanggar Undang-undang Pencegahan Wabak Haiwan di China sekiranya kedai tersebut tidak memiliki lesen yang berkaitan.
Setakat ini, China masih tidak mempunyai undang-undang kebajikan haiwan di peringkat nasional untuk melindungi haiwan kecil, haiwan ternakan, dan haiwan peliharaan daripada penderaan. -AGENSI










