TEHERAN – Televisyen negara Iran pada Ahad mengesahkan kematian Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, tanpa merujuk kepada serangan besar-besaran Amerika Syarikat (AS) dan Israel di kediamannya, semalam.
Seorang penyampai berita di televisyen negara itu mengumumkan kematian Khamenei pada pukul 5 pagi waktu tempatan, ketika saluran itu menyiarkan imej arkib dengan jalur hitam sebagai tanda berkabung.
Khamenei, 86 tahun, telah menjadi pemimpin tertinggi Iran sejak 1989.
“Diumumkan kepada rakyat Iran bahawa Ayatollah Khamenei, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam, telah syahid dalam serangan bersama oleh Amerika Syarikat (AS) dan rejim Zionis,” lapor sebuah agensi berita kerajaan Iran separa rasmi.
“Cendekiawan dan pejuang besar ini mendedikasikan hidupnya untuk kemajuan Iran dan Islam, dan, Insya-Allah, kini bersatu dengan Imam dan para Syuhada,” tambah laporan itu.
Agensi berita rasmi negara IRIB juga melaporkan berita itu melalui aplikasi Telegram.
“Pemimpin bangsa, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Iran, Yang Mulia Ayatollah Khamenei, telah syahid,” katanya.
Iran mengumumkan 40 hari berkabung dan tujuh hari cuti umum berikutan kematian Khamenei.
Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) berjanji akan menjatuhkan hukuman yang berat kepada mereka yang dianggap bertanggungjawab terhadap kematian Khamenei.
Beberapa laporan awal, termasuk daripada sumber Israel, menyatakan bahawa jenazah Khamenei ditemukan di bawah runtuhan di kawasan kediamannya selepas serangan tersebut, menurut pegawai Israel yang dipetik oleh media antarabangsa seperti The Jerusalem Post dan agensi berita Reuters.
Namun, tiada pengesahan atau pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa Iran pada masa itu yang turut mengesahkan cara kematian itu.
Seorang pegawai kanan Israel memberitahu Reuters bahawa gambar jenazah Khamenei telah ditunjukkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Pegawai Amerika termasuk Presiden Donald Trump, bersetuju dengan penilaian Israel bahawa Khamenei tidak lagi hidup.
Pegawai Israel memberitahu Fox News bahawa lebih 40 pegawai keselamatan dan tokoh penting rejim Iran telah terbunuh dan sehingga 10 pemimpin kanan terbunuh dalam serangan awal ke atas kawasan kubu pemimpin tersebut. – AFP/AGENSI










