BUDAPEST: Hungary akan menghentikan eksport gas ke Ukraine secara berperingkat sehingga Kyiv menyambung semula penghantaran minyak melalui saluran paip Druzhba.
Langkah itu diumumkan kelmarin oleh Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, yang turut memaklumkan bekalan gas akan dialihkan untuk mengisi semula simpanan negara itu berbanding dihantar ke Ukraine.
“Kami akan menghentikan secara berperingkat bekalan gas dari Hungary ke Ukraine dan akan menyimpan baki gas di dalam negara.
“Selagi Ukraine tidak membekalkan minyak, kami tidak akan membekalkan gas dari Hungary,” kata Orban dalam video di media sosial selepas mesyuarat Kabinet.
Pengumuman Orban dibuat ketika Hungary dan Ukraine terlibat dalam pertikaian mengenai saluran paip Druzhba era Kesatuan Soviet, yang menyalurkan minyak Russia ke Hungary dan Slovakia.
Saluran paip itu rosak akibat serangan Russia pada akhir Januari dan masih belum dibaiki sejak itu.
Hungary dan Slovakia menuduh Ukraine, yang menyatakan kerja pembaikan boleh mengambil masa sehingga enam minggu, menggunakan isu itu untuk kepentingan politik.
Kerajaan Orban berulang kali mendakwa Ukraine cuba mencetuskan krisis tenaga menjelang pilihan raya umum Hungary pada 12 April, bagi melemahkan pentadbirannya.
Beliau turut berhujah dalam video itu, Hungary perlu menambah simpanan gas asli sendiri susulan serangan Ukraine ke atas saluran paip TurkStream berpangkalan di Russia, yang membawa gas asli Russia melalui Turkiye ke Hungary.
Pertikaian tersebut turut menangguhkan pakej bantuan Kesatuan Eropah (EU) bernilai 90 bilion euro (RM415 bilion) yang sepatutnya disalurkan kepada Ukraine.
Suruhanjaya Eropah menawarkan bantuan teknikal dan kewangan bagi membantu Ukraine menilai serta membaiki kerosakan, namun masih belum mengesahkan sama ada pasukan pakarnya mendapat akses ke lokasi tersebut.
Ukraine berulang kali menggesa Hungary dan Slovakia untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil Russia, memandangkan kedua-dua negara itu mengimport sejumlah besar minyak serta gas dari Russia. – AGENSI











