SANTIAGO: Sekurang-kurangnya empat individu terkorban termasuk seorang pemandu treler, manakala 17 lagi cedera selepas sebuah lori tangki membawa gas cecair terbalik dan meletup dalam kejadian ngeri di sebuah lebuh raya di Renca, Chile, Khamis lalu.
Kejadian yang berlaku di utara Santiago itu turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 50 buah kereta musnah dijilat api dan serpihan letupan ‘melambung’ sehingga ke kawasan premis perniagaan berhampiran.
Gabenor Wilayah Metropolitan Santiago, Claudio Orrego memaklumkan bahawa lima daripada mangsa yang cedera kini berada dalam keadaan kritikal.
Rakaman video tular yang mendebarkan memaparkan detik-detik sebelum letupan berlaku, di mana awan gas kelabu yang besar mula merebak dan menyelubungi lebuh raya dalam masa beberapa saat sahaja.
Keadaan menjadi kucar-kacir apabila pemandu kenderaan lain dilihat nekad melakukan pusingan U dan mengundur kenderaan masing-masing dalam usaha terdesak untuk menyelamatkan diri daripada kepulan gas yang marak dengan pantas.
Hanya dalam tempoh 30 saat, seluruh laluan tersebut hilang daripada pandangan dan hanya kelihatan tembok asap kelabu yang tebal sebelum letupan dahsyat berlaku.
“Salah seorang mangsa mengalami kesan melecur sehingga 100 peratus pada seluruh anggota badan dan kini berada dalam risiko kematian yang sangat tinggi,” lapor Orrego kepada media tempatan.
Pihak bomba mengesahkan kekuatan letupan itu dirasai sehingga radius 200 meter. Walaupun serpihan letupan mengenai tiga premis perniagaan tempatan, Presiden Chile, Gabriel Boric mengesahkan tiada kerosakan struktur besar lain dilaporkan.
Treler yang terlibat dalam nahas itu disahkan milik syarikat gas tempatan, Gasco. Pihak berkuasa kini sedang menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kenderaan berat tersebut terbabas dan terbalik. – AGENSI










