Ukraine lancar hampir 400 dron ke Russia - Utusan Malaysia

Ukraine lancar hampir 400 dron ke Russia

ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran di sebuah bangunan susulan serangan dron Russia di Lviv kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MOSCOW: Serangan Ukraine mencetuskan kebakaran di pelabuhan utama di barat laut Russia, dengan hampir 400 dron ditembak jatuh sepanjang malam, menurut pihak berkuasa Russia pada Rabu.

Gabenor wilayah Leningrad, Alexander Drozdenko berkata, kebakaran di pelabuhan Ust-Luga sedang dikawal, namun tiada kematian dilaporkan.

Drozdenko tidak menyatakan bahagian pelabuhan yang terkena serangan. Kemudahan itu merupakan hab untuk eksport Russia, termasuk baja, minyak dan arang batu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Kyiv meningkatkan serangan ke atas Russia, yang melakukan pengeboman harian sejak menghantar tenteranya ke Ukraine pada Februari 2022.

Kementerian Pertahanan Russia melaporkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas dan memusnahkan 389 dron Ukraine sepanjang malam dan awam pagi, terutama di wilayah bersempadan dengan Ukraine serta sekitar Moscow.

Pada Isnin, Ukraine turut menyerang dan mencetuskan kebakaran di pelabuhan Primorsk, berhampiran sempadan Finland di barat laut Russia.

Sementara itu, di selatan wilayah sempadan Belgorod, Gabenor Vyacheslav Gladkov berkata pada Rabu, kerosakan serius pada kemudahan elektrik dan air dilaporkan selepas serangan roket Ukraine.

Russia pula melancarkan hampir 1,000 dron ke Ukraine dalam tempoh 24 jam pada Selasa, sehingga melancarkan satu daripada serangan siang terbesar dalam sejarahnya.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai ‘kejahatan mutlak’ Russia selepas serangan tersebut mengorbankan sekurang-kurangnya tiga nyawa serta merosakkan tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bandar Lviv, barat Ukraine.

Rundingan pusingan ketiga yang dimediasi Amerika Syarikat (AS) bagi menamatkan perang Moscow dan Kyiv kini terjejas akibat konflik di Asia Barat.

Ukraine menghantar delegasi ke AS hujung minggu lalu bagi menghidupkan semula proses rundingan, namun usaha itu tidak membuahkan hasil serta-merta. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN