BUDAPEST: Keputusan Hungary memveto pinjaman 90 bilion euro (RM413 bilion) untuk Ukraine menerima kritikan keras daripada negara-negara Kesatuan Eropah (EU) lain, yang menyifatkannya sebagai tindakan tidak setia.
Kepimpinan tertinggi EU menuduh Hungary dengan tegas melanggar prinsip kerjasama ikhlas blok itu selepas negara tersebut secara mengejut membuat keputusan untuk memveto pinjaman 90 bilion euro kepada Ukraine susulan isu pertikaian tenaga.
Program bantuan kewangan itu dipersetujui pada Disember tahun lalu oleh ketua-ketua negara dan kerajaan EU selepas rundingan diadakan.
Ia berada pada peringkat akhir proses perundangan, dengan bayaran pertama dijangka dilakukan pada awal April ini.
Hungary, Slovakia dan Republik Czech memperoleh pengecualian daripada skim tersebut.
“Ia amat dikesali. Ia sebenarnya tidak selaras dengan klausa kerjasama ikhlas yang termaktub dalam perjanjian EU,” kata Wakil Tinggi EU, Kaja Kallas, pada akhir mesyuarat menteri-menteri luar kelmarin.
Dalam perkembangan berasingan, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa memberitahu Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban bahawa keputusan yang dipersetujui 27 pemimpin mesti dihormati.
“Apabila para pemimpin mencapai kata sepakat, mereka terikat dengan keputusan tersebut. Sebarang pelanggaran terhadap komitmen ini merupakan satu pencabulan prinsip kerjasama ikhlas.
“Tiada mana-mana negara anggota boleh dibenarkan untuk merosakkan kredibiliti keputusan yang diambil secara kolektif oleh Majlis Eropah,” kata Costa dalam surat dihantar kepada Orban kelmarin.
Sementara itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam kenyataan di Paris turut menyatakan pendirian yang sama.
“Saya yakin apabila menyatakan saya bertekad, kerana saya tahun komitmen politik dan janji dibuat pada Majlis Eropah akan dihormati. Ia tidak boleh sebaliknya,” kata Macron.
Isu pertikaian tenaga didakwa berpunca daripada saluran paip Druzhba era Soviet yang membawa minyak Russia ke Hungary dan Slovakia.
Saluran tersebut mengalami kerosakan teruk pada akhir Januari lalu akibat serangan dron dikaitkan dengan Russia, namun Hungary dan Slovakia menuduh Ukraine menyebabkan penghantaran itu terhenti.- AGENSI










