Hizbollah tangkis cubaan Israel ceroboh timur Lubnan - Utusan Malaysia

Hizbollah tangkis cubaan Israel ceroboh timur Lubnan

GAMBAR dirakam semasa lawatan media dianjurkan Hizbollah menunjukkan kemusnahan di bandar Nabi Sheet selepas operasi ketenteraan Israel di Lembah Bekaa, Lubnan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Hizbollah bertempur dengan tentera Israel yang mendarat menggunakan helikopter di timur Lubnan merentasi sempadan Syria, ketika perang baharu tercetus antara kumpulan itu dengan pasukan rejim Zionis semalam.

Kumpulan itu dalam kenyataan berkata, pihaknya mengesan kira-kira 15 helikopter Israel menceroboh dari arah Syria ke kawasan timur Lubnan, yang merupakan kubu kuatnya.

Hizbollah berkata, pejuang-pejuangnya bertempur dengan helikopter dan pasukan musuh dengan senjata yang sesuai.

Israel, yang terus melancarkan serangan menyasarkan Hizbollah walaupun terdapat gencatan senjata pada 2024, melancarkan beberapa gelombang serangan minggu lalu di seluruh Lubnan dan menghantar tentera darat ke kawasan sempadan.

Agensi berita National News Agency (NNA) pernah melaporkan bahawa pertempuran sengit berlaku di pinggir bandar Nabi Sheet bagi menangkis tentera Israel yang menceroboh kawasan itu dengan menggunakan helikopter.

Sebuah helikopter Israel di kawasan itu berjaya ditembak oleh kumpulan itu, menurut dua pegawai Hizbollah di wilayah timur Bekaa kepada AFP dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

Operasi komando Israel yang gagal di Nabi Sheet, Jumaat lalu dan kawasan sekitarnya untuk mencari mayat juruterbang, Rod Arad yang hilang sejak 1986, mengorbankan 41 nyawa.

Di kubu kuat Hizbollah di pinggir Beirut, wartawan AFP melaporkan letupan kuat kedengaran pada Isnin, dengan asap dilihat dari kawasan tersebut.

Tentera Israel dalam kenyataan ringkas berkata, pasukannya menyerang infrastruktur milik organisasi  Hizbollah di Beirut.

Menurut tentera itu, penduduk pinggir Beirut dan selatan Lubnan, kedua-duanya kubu kuat Hizbollah, untuk berpindah, sambil memberi amaran mengenai serangan terhadap kumpulan itu.

Menurut NNA, beberapa serangan awal Isnin, termasuk satu di bandar Tayr Debba berhampiran bandar selatan Tyre, mengakibatkan kematian tiga rakyatnya dan 15 yang lain cedera.

Hizbollah semalam berkata, ia menyasarkan tentera Israel yang memasuki bandar Odaisseh dan Aitaroun dengan tembakan artileri.

Menteri Kesihatan Lubnan, Rakan Nassereddine berkata pada Ahad, serangan Israel ke atas Lubnan mengorbankan 394 orang sepanjang minggu lalu, termasuk 83 kanak-kanak dan 42 wanita.

Tentera Israel pula mendakwa, dua askarnya terbunuh dalam pertempuran di selatan Lubnan, kematian pertama askarnya sejak serangan terbaharu bermula pada 2 Mac.- AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN