GENEVA: Sekurang-kurangnya enam orang terkorban dalam kebakaran bas di sebuah pekan kecil di barat Switzerland pada Selasa, dengan pihak berkuasa menyiasat insiden tersebut sebagai jenayah.
Polis bandar Fribourg memaklumkan bas tersebut terbakar ketika berada di jalan raya di Kerzers, sebuah pekan dalam kanton Fribourg yang terletak kira-kira 20 kilometer (km) dari ibu negara Switzerland, Bern.
Jurucakap polis Fribourg, Frederic Papaux berkata, pihaknya mempunyai elemen yang menunjukkan insiden tersebut merupakan satu tindakan sengaja oleh seorang individu yang berada di dalam bas berkenaan.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai suspek tersebut.
Selain mangsa yang terkorban, seramai tiga lagi mangsa cedera dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Papaux turut menceritakan detik cemas di mana penumpang dilihat bertempiaran lari menyelamatkan diri dari bas yang sedang terbakar dalam keadaan panik dan berlumuran darah.
Tiada kenderaan lain dilaporkan terlibat dalam kejadian ngeri itu.
Rakaman video selepas api berjaya dipadamkan menunjukkan rangka kenderaan tersebut hangus sepenuhnya.
Apabila ditanya mengenai laporan tidak rasmi di media sosial yang mendakwa seorang individu di dalam bas telah menyiram petrol ke badan sendiri, Papaux menyatakan beliau tidak dapat mengesahkan sama ada petrol digunakan atau bagaimana punca sebenar kebakaran bermula.
Presiden Switzerland, Guy Parmelin, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa siasatan rapi sedang dijalankan.
Menerusi satu kenyataan di platform X, beliau meluahkan rasa terkejut dan sedih atas kehilangan nyawa dalam kebakaran serius yang sekali lagi melanda negara tersebut. -AGENSI










