NEW YORK: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Air Canada, Michael Rousseau, memohon maaf selepas dikritik hebat kerana tidak menggunakan bahasa Perancis dalam video ucapan takziah susulan insiden pertembungan pesawat di Lapangan Terbang LaGuardia, New Yok yang mengorbankan dua juruterbang.
Dalam satu kenyataan, Rousseau meluahkan rasa sedih apabila kegagalannya berbahasa Perancis telah mengalihkan perhatian orang ramai daripada keluarga mangsa yang sedang berduka serta kakitangan Air Canada yang terkesan.
Beliau mengaku tidak mampu menyatakan perasaannya dengan secukupnya dalam bahasa Perancis yang merupakan bahasa rasmi di Kanada walaupun telah mengambil kelas pembelajaran selama beberapa tahun.
Rousseau kini berdepan desakan untuk meletak jawatan kerana gagal menyampaikan ucapan takziah dalam bahasa Perancis. Salah seorang juruterbang yang terkorban, Antoine Forest, merupakan seorang warga Kanada berketurunan Perancis.
Perdana Menteri Kanada, Mark Carney menyifatkan tindakan Rousseau yang hanya menggunakan bahasa Inggeris sebagai menunjukkan kurang sifat ihsan. Premier Quebec, François Legault, berpendapat Rousseau sewajarnya berundur jika masih gagal menguasai bahasa tersebut.
Melalui kenyataan bertulis dalam dwi-bahasa pada Khamis, Rousseau mengaku penguasaan bahasa Perancisnya masih lemah.
“Saya memohon maaf dengan ikhlas atas perkara ini, namun saya akan terus berusaha untuk memperbaikinya,” katanya tanpa mengulas mengenai desakan peletakan jawatan.
Juruterbang Antoine Forest dan Mackenzie Gunther terkorban apabila pesawat Air Canada yang dikendalikan oleh Jazz Aviation bertembung dengan sebuah trak bomba di Lapangan Terbang LaGuardia, pada malam Ahad, sejurus selepas mendarat.
Penerbangan tersebut berlepas dari Montreal, Quebec. Puluhan penumpang dilaporkan cedera, dengan empat daripadanya masih dirawat di hospital setakat Rabu.
Sejurus selepas nahas, Rousseau memuat naik video di platform X menyatakan dukacita yang amat mendalam berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, ucapan itu disampaikan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya dengan hanya disertakan sarikata dwi-bahasa. – BBC
I










