WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) meminjam kira-kira AS$1 trilion (RM3.92 trilion) dalam tempoh lima bulan sejak Oktober, sekali gus menambah defisit persekutuan yang semakin meningkat, menurut laporan terkini Pejabat Belanjawan Kongres (CBO).
Agensi itu dalam semakan bajet bulanannya pada Isnin memaklumkan, hutang kerajaan AS meningkat sebanyak AS$308 bilion (RM1.2 trilion) pada Februari sahaja.
Menurut laporan itu, peningkatan hutang didorong oleh bayaran faedah yang lebih tinggi bagi menampung hutang awam serta peningkatan perbelanjaan kerajaan, termasuk Jabatan Perang AS.
Secara keseluruhan, lebih AS$430 bilion (RM1.6 trilion) dibelanjakan untuk membayar faedah hutang kerajaan, yang kini mencecah AS$38.9 trilion (RM152.8 trilion).
Dalam tempoh lima bulan sahaja, Perbendaharaan AS membayar kira-kira AS$433 bilion (RM1.7 trilion) untuk menampung hutang awam tersebut.
Anggaran itu dibuat ketika media melaporkan tentera AS menggunakan kira-kira AS$5.6 bilion (RM21.9 bilion) peluru dan senjata dalam dua hari pertama serangan terhadap Iran.
Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Belanjawan Persekutuan yang Bertanggungjawab (CRFB), Maya MacGuineas, memberi amaran keadaan itu tidak boleh berterusan.
Beliau menggesa pembuat dasar mengambil langkah mengurangkan defisit dengan menetapkan sasaran awal nisbah defisit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak tiga peratus.
Dalam laporan terbaharunya, badan pemikir itu memberi amaran AS ‘hampir pasti akan memasuki kejutan ekonomi seterusnya dengan tahap hutang yang lebih tinggi berbanding sebelum ini’.
Sementara itu pada Selasa, akhbar The Washington Post, memetik pegawai yang tidak dinamakan, melaporkan tentera AS menembak peluru dan senjata bernilai AS$5.6 bilion hanya dalam dua hari pertama serangan terhadap Iran.
Menurut laporan itu, pentadbiran Presiden Donald Trump dijangka mengemukakan permohonan bajet pertahanan tambahan kepada Kongres dalam beberapa hari lagi, yang dilaporkan boleh mencecah sehingga AS$50 bilion (RM196 bilion)
Ahli Parlimen Demokrat semakin menyuarakan kebimbangan terhadap kekurangan objektif yang jelas dalam kempen ketenteraan Trump terhadap Iran, selepas presiden itu mengeluarkan mesej yang bercampur-campur mengenai perkara tersebut.
Minggu lalu, Politico melaporkan Pentagon menjangkakan konflik itu akan berlanjutan sekurang-kurangnya 100 hari lagi, malah mungkin sehingga September, satu jangka masa yang jauh lebih lama berbanding tempoh empat minggu yang pada asalnya disebut oleh Trump.- AGENSI











