TEHERAN/WASHINGTON: Serangan udara yang cukup hebat telah melanda Teheran dan beberapa bandar lain di Iran pada hari ketujuh perang antara Amerika Syarikat (AS)–Israel pada awal pagi Jumaat ketika Tel Aviv menyatakan infrastruktur di bandar itu diserang.
Liputan internet hanya berjalan sekitar satu peratus, menurut kumpulan pemantau NetBlocks, membataskan maklumat mengenai kesan perang terhadap rakyat biasa Iran.
Perang telah mengosongkan jalan-jalan yang biasanya sesak dengan kenderaan, tetapi penduduk memberitahu AFP bahawa pasukan keselamatan mengekalkan kawalan ketat ke atas penduduk.
“Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran yang berkuasa menutup hampir setiap jalan utama dengan anggota bersenjata untuk menakutkan orang ramai,” kata seorang penduduk Teheran berusia 30 tahun kepada AFP.
“Orang ramai adalah musuh sebenar di mata mereka, bukan Amerika,” tambahnya.
Serangan pagi Jumaat di Teheran berlaku selepas amaran daripada Israel dan AS bahawa mereka akan meningkatkan serangan, yang pertama dilancarkan pada 28 Februari lalu dalam satu serangan bertubi-tubi yang membunuh pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Anggaran yang dikeluarkan oleh Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS) menganggarkan kos bagi 100 jam pertama Operation Epic Fury atau Operasi Kemarahan Epik mencecah AS$3.7 bilion (RM14.6 bilion), atau kira-kira AS$891 juta (RM3.5 bilion) sehari.
Kebanyakan kos itu melibatkan nilai sekitar AS$3.5 bilion (RM13.8 bilion) tidak diperuntukkan dalam bajet, menurut CSIS.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberitahu Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran supaya meletakkan senjata mereka dan menyerah diri atau berdepan kematian yang pasti.
Bercakap di hadapan skuad bola sepak Inter Miami CF di White House, Washington DC, presiden itu juga menggesa diplomat Iran supaya berpaling tadah dan memperoleh kekebalan diplomatik serta berada di pihak yang betul dalam sejarah.
Trump pada Khamis menyatakan bahawa beliau mahu melihat struktur kepimpinan Iran dihapuskan sepenuhnya. Beliau mempunyai beberapa nama dalam fikiran untuk menjadi pemimpin yang baik.
Beliau berkata, Amerika mahu memasuki Iran dan membersihkan semuanya dan tidak membiarkan struktur lama kekal untuk dibina semula dalam jangka masa panjang.
Beliau juga menyatakan bahawa AS memantau bakal pengganti untuk memastikan mereka selamat semasa konflik yang sedang berlaku.
- PERKEMBANGAN HARI KETUJUH PERANG AS-ISRAEL KE ATAS IRAN
* Lebih 1,332 orang terbunuh di Iran sejak serangan bermula pada Sabtu.
* Tentera Israel mendakwa hampir mencapai penguasaan udara sepenuhnya, dengan menyatakan pasukannya sudah melaksanakan 2,500 serangan dan memusnahkan 80 peratus sistem pertahanan udara Iran.
* Lapangan Terbang Ben Gurion dekat Tel Aviv dibedil Iran. Setakat ini, tiada maklumat lanjut mengenai kerosakan atau mangsa,dan tentera Israel belum mengeluarkan kenyataan rasmi.
* Letupan besar menggoncang beberapa lokasi di ibu negara Iran, termasuk kawasan perumahan dan sekitar Universiti Teheran, pada awal pagi Jumaat.
* Serangan udara yang amat sengit dilaporkan lebih kuat berbanding hari sebelumnya, dan kepulan asap tebal dilihat naik di seluruh bandar Teheran.
* Serangan itu bukan sahaja mengenai sasaran ketenteraan tetapi juga kawasan yang berhampiran tempat tinggal orang awam.
*Sistem pertahanan udara Kuwait memintas sejumlah peluru berpandu dan dron Iran.
*Sebuah peluru berpandu Iran mengenai loji penapisan minyak milik kerajaan di sebuah bandar perindustrian di Bahrain, namun kebakaran yang tercetus berjaya dikawal.
*Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berkata, sistem pertahanan udaranya memintas beberapa peluru berpandu Iran dan lebih 120 dron.
*Qatar turut melaporkan menjadi sasaran serangan peluru berpandu dan dron Iran pada Khamis selepas beberapa letupan kuat kedengaran di ibu negara, Doha. – AGENSI










