PETALING JAYA: Sebahagian Malaysia di Qatar memilih untuk tidak pulang ke tanah air meskipun kerajaan menawarkan untuk membawa mereka pulang.
Seorang pekerja swasta di Qatar, Azreen Mat Daud, 33, berkata, dia dan keluarganya mengambil keputusan untuk terus berada di negara itu kerana situasi keselamatan masih stabil.
Malah katanya, peluang pekerjaan yang baik turut menjadi faktor utama mereka kekal menetap dan meneruskan kehidupan seperti biasa di negara tersebut.
Dia yang tinggal bersama isteri serta dua anak memaklumkan pihak berkuasa Qatar juga sentiasa menjalankan rondaan keselamatan selama 24 jam di darat, laut dan udara.
“Saya tahu mengenai pengumuman Kedutaan Malaysia di Qatar. Buat masa ini mereka memberi dua pilihan sama ada terus tinggal di sini atau keluar ke Arab Saudi melalui jalan darat sebelum ke Riyadh.
“Tetapi memandangkan keadaan masih terkawal, saya memilih untuk terus berada di sini.
“Namun, saya berharap rakyat Malaysia di tanah air dapat mendoakan keselamatan kami di sini. Nampaknya kami tidak dapat pulang beraya di Malaysia pada tahun ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kerajaan Malaysia memutuskan untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari Qatar secara sukarela susulan perkembangan keselamatan di rantau Asia Barat.
Menurut kenyataan Kedutaan Besar Malaysia di Doha, proses pemindahan itu akan dilakukan melalui jalan darat ke Arab Saudi sebelum meneruskan perjalanan ke Riyadh.
Rakyat Malaysia yang ingin menyertai proses tersebut juga perlu mengisi borang kehadiran serta maklumat tanggungan melalui pautan yang disediakan oleh pihak kedutaan.
Sementara itu, pekerja restoran, Ahmad Faris Hassan, 43, berkata, operasi syarikat tempatnya bekerja masih berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan setakat ini.
Menurutnya, ramai rakyat Malaysia di Qatar memilih untuk kekal di negara itu kerana bimbang berdepan kesukaran untuk kembali semula sekiranya pulang ke Malaysia.
“Kami di sini Alhamdulillah semuanya baik. Syarikat tempat bekerja juga memahami keadaan semasa dan keselamatan masih terkawal.
“Saya dan isteri masih berbincang sama ada mahu pulang atau tidak, namun buat masa ini kami lebih cenderung untuk terus tinggal di sini,” katanya.
Dalam pada itu, seorang jurutera projek di sebuah syarikat pembinaan, Mohd. Syafiq Rahman, 36, berkata, beliau juga memilih untuk kekal di negara itu kerana komitmen kerja yang sedang berjalan.
“Buat masa ini keadaan masih tenang dan kehidupan harian berjalan seperti biasa. Operasi syarikat juga tidak terjejas.
“Kebanyakan rakyat Malaysia di sini mengambil pendekatan untuk terus berada di Qatar sambil memantau perkembangan semasa.
“Lagipun, ini adalah tempat saya mencari rezeki, jadi saya akan tinggal di sini,” katanya. – UTUSAN










