WASHINGTON: AS dilaporkan kehilangan hampir AS$2 bilion (RM7.9 bilion) nilai peralatan ketenteraan dalam operasi ketenteraan terhadap Iran sejak Sabtu.
Menurut anggaran dan data yang dikumpulkan oleh Anadolu, punca utama kos tinggi itu ialah sistem radar amaran awal AN/FPS-132 di Pangkalan Udara Al Udeid, bernilai AS$1.1 bilion (RM4.34 bilion) yang terkena serangan peluru berpandu Iran pada Sabtu.
Qatar mengesahkan radar itu terkena bedilan dan rosak teruk.
Pada Ahad, tiga pesawat F-15E Strike Eagle hilang dalam insiden tembakan sesama sekutu oleh pertahanan udara Kuwait.
Walaupun kesemua enam kru selamat, pesawat itu musnah, kos menggantikannya dianggarkan bernilai AS$282 juta (RM1.1 bilion).
Dalam serangan pembuka pada Sabtu, Iran menyerang ibu pejabat Armada Kelima AS di Manama, Bahrain, memusnahkan dua terminal komunikasi satelit dan beberapa bangunan besar.
Terminal SATCOM yang disasarkan dikenal pasti sebagai AN/GSC-52B, dengan anggaran kos AS$20 juta (RM78.87 juta) termasuk pemasangan dan penghantaran.
Iran juga mendakwa memusnahkan komponen radar AN/TPY-2 sistem THAAD Anti-peluru berpandu balistik (ABM) yang ditempatkan di Al-Ruwais Industrial City.
Imej satelit menunjukkan radar itu terkena, dengan nilai dianggarkan AS$500 juta (RM1.9 billion).
Secara keseluruhan, kos kerosakan ke atas aset ketenteraan AS di rantau ini dianggarkan AS$1.902 billion (RM7.49 billion).
Sejak Sabtu, Iran mensasarkan sekurang-kurangnya tujuh lokasi ketenteraan AS di Asia Barat, termasuk ibu pejabat Armada Kelima di Bahrain; pangkalan Udara di Arifjan, Ali Al Salem, Buehring, Erbil, Al-Udeid serta Pelabuhan Jebel Ali.
Imej pada Ahad menunjukkan bumbung Pangkalan Udara Ali Al Salem runtuh selepas serangan Iran sehari sebelumnya.
Kem Arifjan adalah lokasi utama di mana enam anggota tentera AS terbunuh. Video yang tular menunjukkan sebuah dron meletup di dalam perimeter kem Buehring.
Imej satelit juga menunjukkan Lapangan erbang Antarabangsa Erbil di Iraq disasarkan berulang kali sepanjang Sabtu dan Ahad, dengan asap dan api kelihatan.
Empat struktur di satu bahagian pangkalan rosak atau musnah, dengan kebakaran masih berlaku hingga Isnin pagi.
Sementara itu, imej satelit Pelabuhan Jebel Ali di Dubai menunjukkan asap dari sebuah bangunan besar dalam zon rekreasi Tentera Laut AS.
Walaupun bukan pangkalan rasmi AS, Jebel Ali adalah salah satu pelabuhan yang paling kerap digunakan oleh tentera laut.
Selain pangkalan ketenteraan, misi diplomatik AS di Arab Saudi, Kuwait, dan UAE juga menjadi sasaran.-AGENSI










