LONDON: Wayve, sebuah syarikat pemula berpangkalan di Britain yang mengkhusus dalam kecerdasan buatan (AI) untuk kenderaan tanpa pemandu mendedahkan nilainya kini mencecah AS$8.6 bilion (RM33.4 bilion) hasil pelaburan baharu daripada gergasi teknologi termasuk Uber, Microsoft dan Nvidia.
Syarikat itu berjaya memperoleh dana tambahan sebanyak AS$1.5 bilion (RM5.8 bilion) susulan pelaburan daripada beberapa firma automotif terkemuka lain seperti Mercedes-Benz, Nissan, dan pengeluar jenama Jeep, Stellantis.
Uber dan Wayve merancang untuk melancarkan ujian komersial bagi perkhidmatan teksi robot di London pada tahun ini.
“Pelaburan ini mempercepatkan laluan kami ke arah penggunaan komersial secara meluas dan meletakkan kami pada kedudukan kukuh untuk membina lapisan autonomi yang bakal menggerakkan mana-mana kenderaan di mana-mana sahaja,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Wayve, Alex Kendall dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella berkata, pelaburan syarikatnya dalam Wayve bertujuan membantu mempercepatkan peralihan daripada penyelidikan rintis kepada penggunaan komersial berskala besar bersama pembuat automotif di seluruh dunia.
Ditubuhkan pada 2017, Wayve merupakan pelopor pembangunan AI dalam kenderaan yang berupaya mempelajari persekitaran melalui pemprosesan data daripada penderia, berbanding hanya bergantung kepada laluan yang dipetakan lebih awal.
Selain Wayve, gergasi internet China, Baidu dengan kerjasama aplikasi e-panggilan Lyft, turut merancang untuk melancarkan perkhidmatan teksi tanpa pemandu di ibu kota Britain itu.
Langkah tersebut turut diikuti oleh Waymo, peneraju dunia dalam kenderaan tanpa pemandu milik syarikat induk Google, Alphabet.
Meskipun teksi tanpa pemandu sudah beroperasi di Amerika Syarikat (AS) dan China, pelaksanaan komersial di London bakal menjadi yang pertama seumpamanya di Eropah.
Kebenaran bagi operasi tersebut bergantung kepada pelaksanaan undang-undang kenderaan automatik yang berkuat kuasa pada 2024.
Wayve menyasarkan untuk melaksanakan perisian pemanduan autonomi miliknya dalam kenderaan pengguna menjelang tahun 2027.-AGENSI










