Warga Australia terkait militan IS kembali ke kem Syria selepas dibebaskan

Warga Australia terkait militan IS kembali ke kem Syria selepas dibebaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROJ: Seramai 34 warga Australia yang merupakan ahli keluarga suspek anggota kumpulan militan IS terpaksa kembali ke kem tahanan Roj di Syria susulan masalah penyelarasan dengan pihak berkuasa Damsyik selepas mereka dibebaskan pada Isnin, kata seorang pegawai Kurdish.

Pengarah Kem, Hakmieh Ibrahim sebelum ini berkata, wanita dan kanak-kanak daripada 11 keluarga itu akan diserahkan kepada saudara-mara yang datang dari Australia untuk menjemput mereka.

Mereka dilihat menaiki bas mini untuk menuju ke ibu negara, Damsyik.

“Namun mereka gagal sampai ke destinasi itu dan terpaksa berpatah balik kerana masala penyelarasan antara saudara-mara mereka dan kerajaan Damsyik,” kata Pegawai, Rashid Omar.

Katanya, wakil keluarga berkenaan sedang berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan pihak berkuasa Syria.

Hakmieh berkata, keluarga itu merupakan warga Australia terakhir di kem Roj. Beliau menyatakan kem tersebut masih menempatkan 2,201 orang daripada kira-kira 50 kewarganegaraan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese memberitahu penyiar awam ABC, kerajaannya enggan membantu 34 warga Australia dari kem tersebut.

“Seperti kata ibu saya, kamu yang membuat pilihan, kamu perlu menanggung sendiri akibatnya.

“Kami secara terus terang tidak bersimpati terhadap mereka yang pergi ke luar negara untuk menyertai usaha menubuhkan khalifah yang bertujuan menggugat dan memusnahkan cara hidup kami.

“Adalah malang kanak-kanak turut terjejas, tetapi kami tidak akan memberikan sebarang sokongan,” katanya.

Menurut beliau, mana-mana rakyat yang pulang ke Australia akan berdepan tindakan undang-undang sepenuhnya sekiranya didapati melakukan kesalahan.

Pasukan Kurdish masih mengawal kem Roj di timur laut Syria, tempat ahli keluarga anggota militan asing ditahan.

Pasukan Kurdish berundur dari kem lebih besar, Al-Hol pada Januari di bawah tekanan ketenteraan pasukan keselamatan kerajaan Syria yang kemudian mengambil alih kawalan.

Sejak itu, ribuan ahli keluarga anggota militan asing meninggalkan kem tersebut menuju destinasi yang tidak diketahui.

Kem berkenaan menempatkan kira-kira 24,000 orang, kebanyakannya warga Syria serta Iraq, selain lebih 6,000 warga asing lain.

Pemulangan ahli keluarga itu menjadi isu kontroversi di Australia, dengan sebahagian ahli politik mendakwa mereka boleh menimbulkan risiko keselamatan negara.

Pihak lain, termasuk Human Rights Watch, sebelum ini memuji kerajaan kerana membawa pulang rakyat Australia daripada keadaan yang disifatkan sebagai mengerikan.

Pada 2023, Save the Children Australia memulakan tindakan undang-undang bagi menuntut kepulangan 11 wanita dan 20 kanak-kanak dari kem Roj.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×