WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu menuntut pengusiran segera dua anggota Kongres AS wanita Muslim selepas Ahli Dewan Perwakilan, Rashida Tlaib dan Ilhan Omar daripada Parti Demokrat menjerit dan mengganggunya ketika ucapan tahunan State of the Union, lapor agensi berita Anadolu.
“Apabila orang boleh berkelakuan seperti itu dan mengetahui bahawa mereka ialah ahli politik yang ‘bengkok’ dan korup, sangat buruk untuk negara kita. Kita patut menghantar mereka kembali ke tempat asal mereka, secepat mungkin,” tulis Trump dalam catatan panjang di platform media sosialnya, Truth Social.
Walaupun Omar dilahirkan di Somalia, beliau telah menjadi warganegara AS selama hampir tiga dekad. Tlaib pula ialah warga Amerika keturunan Palestin yang berasal dari Detroit, Michigan, bermakna beliau telah menjadi warganegara sepanjang hidupnya.
Mereka tidak layak dihantar ke negara asal nenek moyang mereka.
Kedua-dua wanita itu berulang kali menjerit kepada Trump pada malam Selasa ketika beliau berucap di hadapan sesi bersama Kongres AS, dengan menegurnya atas kematian dua rakyat Amerika di tangan pegawai imigresen.
“Anda telah membunuh rakyat Amerika!” jerit kedua-dua wanita tersebut sejurus sebelum mereka keluar dari dewan.
“Tidak boleh terima dua wanita Muslim membalas dan membetulkannya, jadi sekarang dia hilang kawalan,” tulis Tlaib sebagai respons di platform media sosial AS, X. Tanda pagar itu menggunakan perkataan Arab yang bermaksud ‘raja gila’.
Trump turut mengaitkan pelakon pemenang dua kali Anugerah Akademi, Robert De Niro, seorang pengkritik lantang presiden itu, dalam serangan media sosialnya.
Presiden itu menulis bahawa pelakon tersebut ialah seorang lagi individu sakit dan tidak waras.
“Pada pendapat saya, IQ (darjah kecerdasannya) amat rendah, yang langsung tidak tahu apa yang dilakukan atau diperkatakannya.
“Apabila saya melihatnya menangis semalam (Isnin), seperti seorang kanak-kanak, saya sedar bahawa beliau mungkin lebih sakit daripada Crazy Rosie O’Donnell (pelawak) yang kini berada di Ireland cuba memikirkan cara untuk kembali ke Amerika kita yang indah. Satu-satunya perbezaan antara De Niro dan Rosie ialah beliau mungkin sedikit lebih bijak daripadanya,” tulisnya.
De Niro menyertai audio siar MS Now yang diterbitkan pada Isnin, di mana beliau berkata bahawa presiden itu adalah musuh negara ini dan menambah: “ Jangan kita menipu diri sendiri.
“Beliau (Trump) tidak akan pernah pergi. Kita perlu memaksanya pergi. Anda lihat, beliau kini bergurau tentang menasionalisasikan pilihan raya . Beliau tidak bergurau. Kita sudah melihat secukupnya dan semua orang bimbang mengenainya, tetapi beliau memang bersungguh-sungguh,” katanya. – AGENSI










