WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mencetuskan kemarahan meluas di seluruh negara pada Jumaat, selepas berkongsi satu video rasis yang menggambarkan Barack dan Michelle Obama sebagai monyet, sebelum bertindak memadamkannya.
Pihak Rumah Putih pada mulanya menolak kecaman tersebut sebagai ‘kemarahan palsu’ berhubung video yang dikongsi di akaun Truth Social milik Trump lewat malam Khamis, namun kemudiannya menyalahkan kesilapan kakitangan atas hantaran tersebut.
Ahli politik Demokrat menyelar Trump sebagai ‘keji’ atas hantaran yang menyasarkan pasangan Obama yang juga Presiden dan Wanita Pertama kulit hitam pertama dalam sejarah AS, manakala seorang senator kanan Republikan menyifatkan video tersebut sebagai rasis secara terang-terangan.
Di penghujung video berdurasi satu minit itu, yang mempromosikan teori konspirasi mengenai kekalahan Trump kepada Joe Biden dalam pilihan raya 2020, wajah pasangan Obama dipaparkan pada badan monyet selama kira-kira satu saat.
Lagu The Lion Sleeps Tonight turut dimainkan sebagai latar belakang ketika imej pasangan Obama muncul.
Video yang dimuat naik pada jam 11.44 malam Khamis itu turut mengulangi dakwaan palsu bahawa syarikat pengiraan undi, Dominion Voting Systems, membantu ‘mencuri’ pilihan raya daripada Trump.
Pada mulanya, Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karoline Leavitt, cuba meredakan keadaan dengan menyatakan bahawa imej tersebut adalah daripada video meme internet yang menggambarkan Trump sebagai Raja Rimba dan ahli Demokrat sebagai watak daripada The Lion King.
“Tolong hentikan kemarahan palsu ini dan laporkan sesuatu yang benar-benar penting kepada rakyat AS,” kata Leavitt dalam satu kenyataan kepada AFP.
Bagaimanapun, hampir tepat 12 jam selepas hantaran itu muncul, pentadbiran Trump membuat pengakuan yang luar biasa bagi sebuah kerajaan yang biasanya enggan mengaku kesilapan.
“Seorang kakitangan Rumah Putih telah tersilap memuat naik hantaran tersebut. Ia telah dipadamkan,” ujar seorang pegawai Rumah Putih kepada AFP. Setakat ini, belum ada sebarang ulasan daripada pihak pasangan Obama.
Walaupun ahli Demokrat mengecam keras hantaran tersebut, reaksi marah daripada beberapa ahli parti Republikan sendiri dipercayai menjadi punca utama tindakan memadam video itu.
Tim Scott, satu-satunya senator Republikan berkulit hitam dan calon bagi pencalonan presiden 2024, menyifatkan video itu sebagai perkara paling rasis yang pernah dilihat keluar daripada Rumah Putih.
Seorang lagi senator Republikan, Roger Wicker, menegaskan bahawa hantaran itu sama sekali tidak boleh diterima dan menuntut presiden untuk memohon maaf. – AGENSI










