MINNEAPOLIS: Ribuan penunjuk perasaan menyertai bantah di Minneapolis, manakala pelajar di seluruh Amerika Syarikat (AS) mengadakan mogok kelas bagi menuntut pengunduran ejen imigresen persekutuan dari Minnesota.
Pelajar dan guru meninggalkan bilik darjah dari California hingga New York sempena hari bantahan nasional, yang berlangsung ketika pentadbiran Presiden, Donald Trump mengeluarkan mesej mengelirukan mengenai sama ada Operasi Metro Surge akan dikurangkan atau tidak.
Kemarahan penunjuk perasaan memuncak selepas Trump menyifatkan jururawat yang ditembak mati ejen ICE pada Sabtu lalu, Alex Pretti sebagai penghasut dan mungkin juga pemberontak, susulan kemunculan rakaman baharu yang didakwa memaparkan lelaki itu.
Berita berkaitan:
Seorang penunjuk perasaan, Kim, 65, menyifatkan operasi itu sebagai serangan fasis sepenuhnya oleh kerajaan persekutuan terhadap rakyatnya sendiri.
Bintang rock terkenal, Bruce Springsteen turut menyuarakan sokongan dengan membuat persembahan pada acara kutipan dana untuk keluarga Pretti dan Renee Good yang maut ditembak ejen ICE awal bulan ini, termasuk menyanyikan lagu baharunya berjudul Streets of Minneapolis.
Bantahan itu merebak jauh melangkaui Minnesota, dengan kira-kira 250 demonstrasi di 46 negeri, termasuk di bandar utama seperti New York, Los Angeles, Chicago dan Washington. Protes itu membawa slogan menggesa pembiayaan kepada ICE dihentikan segera.
Demonstrasi itu turut membantah tindakan pentadbiran Trump mendakwa bekas pengacara CNN, Don Lemon bersama lapan individu lain atas pelanggaran hak sivil, selepas beliau dan beberapa wartawan lain membuat liputan protes di sebuah gereja yang diketuai seorang pegawai ICE sebagai paderi.
Menurut jurucakap Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Lemon berdepan dua pertuduhan konspirasi untuk menafikan hak dan mengganggu hak Pindaan Pertama Perlembagaan, yang melindungi kebebasan bersuara termasuk kebebasan beragama.
Tokoh politik dan kumpulan advokasi media mengecam penahanan Lemon, dengan Ketua Minoriti Dewan Perwakilan Demokrat, Hakeem Jeffries menuntut pembebasan segera.
“Ini adalah serangan keterlaluan terhadap Pindaan Pertama dan keupayaan wartawan menjalankan tugas mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Melindungi Wartawan, Jodie Ginsberg.
Lemon kemudian dibebaskan daripada tahanan selepas perbicaraan ringkas di Los Angeles, lapor media AS. Pendengaran seterusnya dijadualkan di Minneapolis pada 9 Februari.
Tentangan terhadap dasar imigresen pentadbiran Trump turut mencetuskan penutupan sebahagian kerajaan AS, apabila Demokrat di Kongres menentang pembiayaan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang menyelia ICE.











