Rakyat Indonesia marah polis hentak pelajar - Utusan Malaysia

Rakyat Indonesia marah polis hentak pelajar

GAMBAR fail anggota polis bercakap dengan penunggang motosikal di Jakarta. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Kematian tragis seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang didakwa maut akibat dihentak dengan topi keledar oleh seorang anggota polis mencetuskan kemarahan luar biasa di Indonesia, dengan kumpulan hak asasi manusia menyifatkan insiden itu sebagai pembunuhan di luar undang-undang.

Mangsa, Arianto Tawakal, maut dalam kejadian di Maluku selepas diserang oleh anggota Pasukan Briged Mobil (Brimob), Masias Siahaya, yang ketika itu mendakwa sedang memantau aktiviti lumba haram.

Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan keadaan menyayat hati mangsa yang berlumuran darah pada  19 Februari lalu sehingga mengundang kecaman hebat daripada rakyat republik itu.

Menurut pertubuhan pembela hak asasi manusia, Amnesty International Indonesia, saksi mendakwa pegawai terbabit tiba-tiba melompat keluar dari sebalik pokok sebelum menghentak muka mangsa menggunakan topi keledar ketika mangsa sedang menunggang motosikal bersama abangnya, Nasri Karim.

Hentakan kuat itu menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terjatuh, mengakibatkan kepalanya terseret di atas asfalt. Arianto dikejarkan ke Hospital Wilayah Karel Sadsuitubun, namun disahkan meninggal dunia akibat pendarahan otak yang serius.

Bagaimanapun, pihak polis memberikan versi berbeza dengan mendakwa anggota terbabit hanya menghayunkan topi keledar di udara sebagai isyarat supaya mangsa berhenti, namun ia secara tidak sengaja terkena pada bahagian pelipis mangsa.

Bapa mangsa, Rijik Fikri Tawakal, menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan polis bahawa anaknya diberi amaran untuk berhenti.

“Anak saya terkejut apabila pegawai ini mengangkat topi keledar dan terus menghentak mukanya. Apa yang paling saya kesal ialah cara mereka mengangkat anak saya (selepas kejadian) seolah-olah dia seekor haiwan,” katanya dengan nada penuh kesal.

Pengarah Eksekutif Amnesty International Indonesia, Usman Hamid menyifatkan serangan itu sebagai perlanggaran hak asasi manusia yang serius sambil membandingkan kes ini dengan kematian seorang pelajar di Semarang, Gamma Rizkynata, di mana pihak polis didakwa cuba menutup kebenaran dengan menuduh mangsa terlibat dalam pergaduhan.

“Pendekatan amatur ini hanya akan terus menghakis kepercayaan orang awam terhadap pihak polis,” tegas Usman.

Sementara itu, Ketua Hubungan Masyarakat Polis Daerah Maluku, Senior Asisten Komisioner Polis Rositah Umasugi, mengesahkan bahawa Siahaya telah ditahan untuk disiasat mengikut proses undang-undang jenayah dan etika. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN