TEHERAN: Sekumpulan pelajar di Iran melaungkan slogan antikerajaan dan bertembung dengan kumpulan penunjuk perasaan prokerajaan ketika Teheran berdepan peningkatan tekanan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) bagi memaksa perjanjian nuklear dicapai segera.
Perhimpunan di universiti-universiti, yang dilaporkan oleh media tempatan dan media diaspora, menyusuli gelombang protes besar-besaran bulan lalu yang dibalas dengan tindakan keras kerajaan sehingga mengorbankan ribuan nyawa.
Rakaman video yang dikenal pasti oleh agensi berita AFP berlaku di universiti kejuruteraan terkemuka Teheran menunjukkan pergaduhan tercetus dalam kalangan orang ramai pada Sabtu lalu ketika laungan ‘bi sharaf’ dalam bahasa Parsi atau memalukan kedengaran.
Rakaman yang disiarkan saluran televisyen Iran International yang berpangkalan di luar negara, turut memaparkan orang ramai melaungkan slogan antikerajaan di Universiti Teknologi Sharif. Ribuan penunjuk perasaan dilihat turut berhimpun di beberapa universiti lain di ibu negara pada Sabtu lalu, lapor media tempatan.
Agensi berita Fars melaporkan perhimpunan duduk bantah secara senyap dan aman bagi memperingati mangsa-mangsa korban terganggu oleh laungan slogan termasuk mati kepada diktator yang merujuk kepada Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Video yang dimuat naik Fars turut menunjukkan sekumpulan individu melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Iran berhadapan dengan kumpulan bertopeng.
Kedua-dua kumpulan dilihat memegang gambar peringatan mangsa-mangsa korban.
Pergolakan itu mula tercetus pada Disember tahun lalu akibat tekanan kewangan berpanjangan sebelum berkembang menjadi demonstrasi antikerajaan berskala besar yang cuba dikekang pasukan keselamatan.
Pihak berkuasa ulama mengaku lebih 3,000 kematian dan menyatakan keganasan itu berpunca daripada tindakan pengganas yang didorong musuh Iran.
Tindakan keras Teheran mendorong Presiden AS, Donald Trump mengancam untuk campur tangan secara ketenteraan, walaupun fokus ancamannya kemudian beralih kepada program nuklear Iran yang dibimbangi Barat bertujuan menghasilkan bom.
AS dan Iran baru-baru ini menyambung semula rundingan yang dimediasi Oman bagi mendapatkan perjanjian, namun Washington pada masa sama meningkatkan kehadiran ketenteraannya di rantau itu dengan menghantar dua kapal pengangkut pesawat, jet-jet pejuang dan kapal perang bagi menyokong amaran yang dikeluarkan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberitahu media AS minggu ini bahawa selepas rundingan terbaharu di Geneva, Switzerland, Iran akan mengemukakan draf cadangan perjanjian dalam tempoh dua hingga tiga hari.
Beliau turut berkata, pihak AS tidak menuntut ‘pengayaan sifar uranium’, bercanggah dengan kenyataan pegawai AS sebelum ini.
Trump pada Khamis lalu memberi bayangan perkara buruk akan berlaku sekiranya Teheran gagal mencapai perjanjian dalam tempoh 10 hari, sebelum melanjutkan tempoh itu kepada 15 hari.
Iran menafikan ia berusaha menghasilkan senjata nuklear dan menyatakan programnya bersifat aman, namun tetap mempertahankan hak pengayaan uranium bagi tujuan awam.
Laman berita AS, Axios minggu lalu memetik pegawai kanan AS yang tidak dinamakan melaporkan, Washington bersedia mempertimbangkan perjanjian yang hanya membenarkan pengayaan pada skala kecil dan simbolik. – AGENSI










