WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, anggota Lembaga Keamanan yang ditubuhkannya berikrar menyalurkan AS$5 billion (RM19 bilion) bagi usaha pembinaan semula Gaza dan akan menghantar ribuan anggota untuk mengekalkan keselamatan serta keamanan di wilayah Palestin itu.
Menurut Trump dalam hantaran di Truth Social kelmarin, ikrar berkenaan akan diumumkan secara rasmi ketika mesyuarat itu berlangsung.pada 19 Februari ini di Bangunan Institut Keamanan Donald J. Trump di Washington DC.
“Yang paling penting, Hamas mesti mematuhi komitmennya untuk pelucutan senjata sepenuhnya dan serta-merta.
“Lembaga Keamanan akan terbukti sebagai badan antarabangsa paling berpengaruh dalam sejarah dan saya berbesar hati untuk berkhidmat sebagai pengerusinya,” tulis Trump.
Hantaran presiden itu tidak menyatakan negara anggota mana yang membuat ikrar berkenaan atau akan menyumbang anggota keselamatan.
Bagaimanapun, agensi berita Associated Press (AP) melaporkan, tentera Indonesia menjangkakan sehingga 8,000 anggotanya bersedia menjelang akhir Jun depan untuk kemungkinan menempatkan askarnya ke Gaza sebagai sebahagian daripada misi kemanusiaan dan keamanan.
Menurut AP, ia merupakan komitmen kukuh pertama yang diterima Trump setakat ini.
Organisasi yang baru ditubuhkan itu ditugaskan menyelia usaha pemulihan pascaperang di Gaza, termasuk pelucutan senjata Hamas, sebagai sebahagian daripada fasa kedua pelan damai 20 perkara presiden tersebut.
Lembaga Keamanan juga dijangka mengerahkan pasukan keselamatan antarabangsa bagi menguatkuasakan gencatan senjata, yang telah beberapa kali dilanggar sejak ia berkuat kuasa pada Oktober tahun lalu.
Untuk menyertai lembaga itu sebagai anggota tetap, sesebuah negara perlu membayar yuran keahlian sebanyak AS$1 billion (RM3.9 billion).
Lebih 20 negara, termasuk Israel, dilaporkan menerima jemputan untuk menyertainya. Penyertaan Israel bagaimanapun menimbulkan kontroversi kerana negara itu akan membantu menyelia gencatan senjata rapuh yang melibatkan pasukan mereka sendiri secara langsung.
Beberapa negara Eropah pula menolak jemputan Trump, termasuk Perancis, Jerman, Greece, Itali, Norway, Slovenia, Sweden, United Kingdom (UK) dan Ukraine.
Trump turut menarik balik jemputan kepada Kanada selepas Perdana Menterinya, Mark Carney menyuarakan bantahan terhadap tarif yang dicadangkannya. – AGENSI










