LIVERPOOL: Pihak berkuasa Britain berjaya merampas sejumlah besar dadah yang dikenali sebagai ‘kokain merah jambu’, iaitu bahan terlarang yang dikaitkan dengan kematian tragis bekas ahli kumpulan nyanyian One Direction, Liam Payne.
Serbuk tersebut ditemui bersama bekalan pil khayal, heroin dan ketamin selepas anggota-anggota polis menyerbu satu urus niaga dadah yang mencurigakan di Anfield, Liverpool, malam Rabu lalu.
Kejadian bermula apabila anggota-anggota Polis Merseyside yang sedang melakukan rondaan kira-kira pukul 9.20 malam waktu tempatan mengesan tiga lelaki yang bertindak mencurigakan di Ayrshire Road.
Dua daripada suspek kemudian menaiki sebuah van sejurus selepas melakukan pertukaran barangan sebelum mereka ditahan oleh pihak polis.
Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa sejumlah tablet biru yang disyaki dadah Kelas A bersama sejumlah wang tunai.
Susulan tangkapan tersebut, pihak polis melakukan pemeriksaan di sebuah rumah berhampiran dan menemui beg berisi serbuk yang disyaki kokain merah jambu, beberapa biji dipercayai dadah perangsang, lapan buah telefon bimbit, alat penimbang serta wang tunai tambahan.
Sebuah basikal elektrik dan skuter turut disita dalam serbuan tersebut.
Walaupun menggunakan nama itu, bahan ini sebenarnya jarang mengandungi kokain tulen, sebaliknya ia merupakan campuran berbahaya bahan psikoaktif seperti MDMA, ketamin dan amfetamina.
Warna merah jambu terang itu hanya pewarna makanan yang ditambah bagi membezakannya daripada dadah lain serta menjadikannya lebih menarik di pasaran parti.
Nama dadah ini melonjak dalam laporan berita antarabangsa selepas siasatan mendapati Payne mempunyai bahan tersebut dalam sistem badannya ketika terjatuh dari balkoni hotel di Buenos Aires, Argentina pada Oktober tahun lalu.
Laporan bedah siasat mengesahkan Payne maut akibat pendarahan dalaman dan luaran, manakala ujian toksikologi awal menemui kesan kokain, benzodiazepine dan kokain merah jambu dalam tubuh mendiang. – AGENSI










