JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya membongkar taktik sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang cuba menyeludup masuk dadah jenis kokain seberat 51 kilogram (kg) ke negara ini, 15 Mei lalu.
Pengarah Kastam Johor, Aminul Izmeer Mohd. Sohaimi berkata, sindiket itu menyembunyikan dadah tersebut di ruang pendingin hawa sebuah kontena yang membawa bawang segar dari China.
Menurut beliau, kokain bernilai RM10.3 juta itu sedang dalam perjalanan menuju ke lokasi akhir di Kuching, Sarawak.
“Berdasarkan maklumat diterima, sepasukan pegawai Kastam dari Cawangan Narkotik JKDM Johor telah menyita sebuah kontena 40 kaki di Bay Pemeriksaan Kastam, Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah pada pukul 2.45 petang.
“Dagangan di dalam kontena itu diikrarkan sebagai bawang segar melibatkan sebanyak 2,900 bungkusan. Namun semasa pemeriksaan dibuat, pegawai menemukan 50 bungkusan plastik berisi kokain disembunyikan di ruang penghawa dingin,” katanya dalam sidang akhbar di Menara Kastam Johor, di sini hari ini.
Tambah Aminul Izmeer, kesemua barangan dagangan telah disita manakala usaha mengesan pemilik sedang giat dijalankan.
“Rampasan ini merupakan antara rampasan dadah jenis kokain terbesar yang dibuat di negeri Johor, tahun ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” jelasnya. – UTUSAN










