Tiga lelaki Jepun cuba seludup 12kg kokain dianggar bernilai RM2.4 juta

Tiga lelaki Jepun cuba seludup 12kg kokain dianggar bernilai RM2.4 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tiga lelaki warga Jepun ditahan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) selepas cuba menyeludup masuk dadah dianggarkan bernilai RM2.4 juta dengan berselindung menggunakan beg mengandungi ikan bilis dan udang kering.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, pegawai AKPS mengesan imej mencurigakan melalui mesin imbasan bagasi di Balai Ketibaan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Ketiga-tiga lelaki itu tiba dari Bangkok, Thailand.

AKPS dalam kenyataan berkata, pemeriksaan fizikal terhadap satu daripada enam bagasi dan beberapa beg galas menemukan bahan dipercayai dadah jenis kokain.

Katanya, dadah berkenaan dibungkus secara vakum selain ditutup bungkusan menggunakan ikan bilis dan udang kering.

“Hasil pemeriksaan keseluruhan bagasi mengesahkan kesemua enam bagasi berkenaan mengandungi barangan terlarang iaitu kokain. 

“Jumlah keseluruhan dadah berkenaan seberat 12 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM2.4 juta dan ia juga menggunakan kaedah penyamaran sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurutnya, semua suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes diserahkan sepenuhnya kepada Bahagian Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut.

Katanya, AKPS komited memperkukuh pemantauan keselamatan dan kerjasama rentas agensi bagi memastikan pintu masuk negara sentiasa terlindung daripada ancaman penyeludupan, khususnya membabitkan dadah berbahaya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN