Rusuhan anti pendatang di Britain semakin parah - Utusan Malaysia

Rusuhan anti pendatang di Britain semakin parah

ANGGOTA polis berhadapan kumpulan anti pendatang di Bristol, UK.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Rusuhan di beberapa bandar Britain yang berlaku sejak kelmarin sehingga mencederakan polis dan kerosakan harta benda awam disifatkan paling besar sejak 13 tahun yang berpunca daripada kejadian pembunuhan tiga gadis di barat laut England, hujung Julai lalu.

Rusuhan membabitkan ratusan penunjuk perasaan anti imigresen telah meletus di beberapa bandar selepas maklumat palsu tersebar dengan pantas di media sosial bahawa suspek terlibat dalam satu kejadian bunuh yang berlaku dalam kelas tarian kanak-kanak di Southport itu adalah seorang pendatang dan radikal.

Meskipun polis mengesahkan suspek berusia 17 tahun itu dilahirkan di Britain, namun perusuh anti imigresen dan anti Islam terus melakukan rusuhan dan demonstrasi sehingga bertukar keganasan.

Kekacauan mula meletus di Liverpool, Bristol, Hull dan Belfast dengan pergelutan berlaku dengan membaling batu dan botol oleh penunjuk perasaan anti imigresen yang berdepan dengan kumpulan menentang sikap perkauman.

Ramai pegawai polis mengalami kecederaan ketika mereka cuba menghalang beberapa ratus penunjuk perasaan yang bertelagah dan kebanyakannya disertai anak-anak muda yang melakukan rusuhan sambil melaungkan slogan anti pendatang.

Spekulasi tercetus di bandar barat laut Inggeris itu pada Selasa, selepas maklumat palsu mula tersebar di media sosial mendakwa suspek adalah seorang migran yang radikal, dengan penunjuk perasaan anti pendatang mula turun ke bandar itu dari tempat lain.

Sebelum ini, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa atas pembunuhan tiga gadis muda serta 10 tuduhan cubaan membunuh dalam serangan pisau di kelas tarian sehingga mengejutkan negara dan mencetuskan keganasan sehingga semalam.-REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN