SYDNEY: Pegawai penyiasat Australia menahan dua lelaki berhubung kes culik dan pembunuhan seorang warga emas dalam satu insiden tersalah identiti.
Chris Baghsarian, 85, diculik dari rumahnya di kawasan North Ryde, Sydney pada 13 Februari lalu, namun polis berkata, mangsa dan keluarganya tiada sebarang kaitan dengan dunia jenayah.
Selepas pencarian panjang, polis berkata, mereka menemui cebisan mayat pada Selasa yang dipercayai milik Baghsarian berhampiran kelab golf di pinggiran barat laut Sydney.
Detektif daripada unit rompakan dan jenayah menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dan seorang lagi berusia 29 tahun dalam dua serbuan awal pagi Rabu di kawasan pinggiran barat laut bandar itu, menurut kenyataan polis.
Suspek dibawa ke balai polis tempatan untuk siasatan lanjut.
“Siasatan awal menunjukkan Baghsarian bukan sasaran sebenar suspek namun diculik dan dibunuh gara-gara tersalah identiti,” kata polis.
Video dan gambar yang diperoleh media tempatan menunjukkan Baghsarian mengalami kecederaan serius, termasuk jari terputus.
Mangsa merupakan duda dan tinggal bersendirian.
Menurut laporan Sydney Morning Herald, polis percaya penculik itu sebenarnya menyasarkan seorang ahli keluarga perompak bersenjata yang pernah disabitkan kesalahan dan pengasas jenama pakaian jalanan yang dikaitkan dengan rangkaian jenayah Alameddine di barat Sydney.-AFP










