BANGKOK: Parti-parti politik Thailand mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) segera menyiasat penyelewengan yang didakwa berlaku semasa pengundian awal yang berlangsung, Ahad lalu.
Kesemua parti itu memberi amaran isu tersebut berpotensi menjejaskan keyakinan orang ramai menjelang pilihan raya yang akan diadakan pada Ahad.
Pengundian awal diadakan di seluruh negara seminggu sebelum pilihan raya dan menyaksikan jumlah keluar mengundi yang tinggi.
Di Bangkok sahaja, seramai 845,853 pengundi mendaftar untuk mengundi di luar kawasan pilihan raya masing-masing dengan 740,966 orang keluar mengundi, mewakili 87.6 peratus.
Bilangan pengundi dalam jumlah besar dilaporkan hadir di kebanyakan wilayah lain, namun pelbagai masalah turut timbul di seluruh negara, termasuk kesilapan alamat pada sampul surat yang menimbulkan kebimbangan undi mungkin menjadi tidak sah.
Masalah lain yang dilaporkan termasuk senarai calon yang tidak lengkap atau hilang, kehilangan risalah calon, data Kod Respons Pantas (QR) yang ketinggalan zaman dan kekeliruan dalam kalangan pegawai-pegawai pilihan raya.
Dalam beberapa kes, pengundi pada awalnya dinafikan hak mereka untuk mengundi walaupun nama mereka tersenarai dalam sistem.
Parti Rakyat, Pheu Thai dan badan pemantau undang-undang iLaw meminta EC untuk bertanggungjawab dan menjalankan siasatan menyeluruh.
Menurut Parti Rakyat, pihaknya akan menghantar surat segera kepada suruhanjaya itu, menuntut siasatan dan penyingkiran pegawai-pegawai pusat mengundi yang dituduh memberikan maklumat palsu.
Parti itu memberi amaran jika pihak yang bertanggungjawab tidak diambil tindakan, suruhanjaya tersebut boleh menghadapi liabiliti undang-undang kerana kecuaian tugas.
Calon Parti Rakyat, Rukchanok Srinork berkata, senarai mereka yang bertanding tidak dipamerkan di papan notis di beberapa kawasan.
Apabila ditanya, beberapa pegawai EC dilaporkan memberitahu pengundi calon parti itu telah digugurkan, tetapi kenyataan tersebut tidak benar.
Parti Pheu Thai turut menyuarakan kebimbangan selepas mengerahkan pemerhati-pemerihari ke-16 wilayah, terutama di kawasan di mana pendaftaran pengundian awal meningkat dengan mendadak.- BANGKOK POST










