Lubang benam setahun terbentuk gagal dibaiki

Lubang benam setahun terbentuk gagal dibaiki

LUBANG benam yang masih belum dibaiki walaupun sudah setahun terbentuk di Surrey. - Foto Getty Images
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Sudah lebih setahun berlalu sejak sebuah lubang benam sepanjang 20 meter merosakkan jalan utama di High Street, Surrey, namun sehingga kini keadaannya dibiarkan begitu saja tanpa sebarang penyelesaian.

Tinjauan di lokasi mendapati jalan utama masih ditutup, kedai-kedai terpaksa gulung tikar dan penduduk yang dipindahkan masih tidak dapat pulang ke rumah masing-masing. 

Pihak majlis perbandaran juga masih membisu dan enggan mengesahkan bila kerja-kerja pembaikan akan selesai sepenuhnya.

Seorang penduduk, Eric Eamon, 87, percaya punca utama kejadian adalah daripada bekas lombong pasir zaman Victoria yang menjalar di bawah perkampungan itu, tempat dia dan rakan-rakan pernah bermain sorok-sorok menggunakan lilin ketika berusia 10 tahun.

Lubang benam sedalam enam meter itu mula terbentuk pada malam 17 Februari tahun lalu selepas sebatang paip pecah, menyebabkan 30 penduduk terpaksa dipindahkan serta-merta. 

Walaupun pada awalnya pembaikan dijanjikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, realitinya jalan tersebut kekal terbengkalai selama setahun. Kesan paling teruk itu dirasai oleh peniaga tempatan.

Pemilik sebuah bengkel kenderaan, Shane Fry mendakwa perniagaannya merosot teruk kerana pelanggan-pelanggan dari lebuh raya tidak lagi dapat memasuki kawasan tersebut.

“Kami tidak ditawarkan sebarang pampasan. Tiada langsung,” tegas beliau dengan nada kecewa.

Selain isu perniagaan, penduduk kini dihantui kebimbangan bahawa terdapat kira-kira 125 lagi rongga serupa di bawah struktur pekan tersebut yang pada bila-bila masa boleh mencetuskan tragedi baharu. 

Majlis Daerah Surrey memaklumkan bahawa lebih banyak terowong lombong ditemukan, menyebabkan pemulihan kampung tersebut akan mengambil masa yang lama.

Lebih £2.3 juta (RM12 juta) telah dibelanjakan setakat ini untuk membaiki kerosakan tersebut dan anggaran kos keseluruhan dijangka sekurang-kurangnya £3 juta (RM16 juta).

Ratusan penduduk menghadiri mesyuarat majlis yang dianjurkan oleh ahli parlimen tempatan, Claire Coutinho, bulan lalu.

Namun, mereka masih tidak mendapat penjelasan kerana tarikh penyelesaian projek itu masih belum diberikan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN