Jangan benarkan buruh asing beli kenderaan sendiri

Jangan benarkan buruh asing beli kenderaan sendiri

WARGA asing kelihatan terlalu mudah memiliki motosikal dan kereta, seolah-olah menetap tetap tanpa niat pulang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SATU peraturan khusus perlu digubal bagi menghalang buruh dan pelarian asing daripada membeli kenderaan semasa berada di Malaysia.

Kini, warga asing kelihatan terlalu mudah memiliki motosikal dan kereta, seolah-olah menetap tetap tanpa niat pulang.

Situasi ini membimbangkan kerana negara kita sudah pun mencatat nisbah kenderaan kepada penduduk yang tinggi dan kemudahan membeli kenderaan sendiri boleh mendorong mereka tinggal lebih lama serta menjalankan aktiviti lain yang tidak sepatutnya.

Terdapat kes warga asing dari Bangladesh, Pakistan dan India yang memiliki kenderaan selain menjalankan perkhidmatan ‘prebet sapu’, membawa rakan senegara, membuka perniagaan kereta sewa serta menggunakan pikap untuk mengangkut barang.

Malah, sebahagian pekerja pembersihan mempunyai motosikal sendiri, ada pula yang menggunakannya sebagai penunggang menghantar barang. Aktiviti ini bukan sahaja menggugat peluang pekerjaan rakyat tempatan, malah menimbulkan persaingan tidak adil.

Lebih membimbangkan, pelarian Rohingya yang sebelum ini menggunakan basikal roda tiga kini sudah memiliki motosikal roda tiga dan jika dibiarkan, mereka mungkin mampu membeli van dan lori.

Warga asing yang mempunyai kenderaan juga kadang-kadang bersikap seperti berada di negara sendiri, memandu sesuka hati dan meletakkan kenderaan di tepi jalan tanpa kawalan. Mujurlah subsidi petrol bersasar diperkenalkan tetapi isu kepatuhan undang-undang tetap wujud.

Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati ramai pemandu warga asing tiada lesen sah, termasuk di kawasan popular seperti Cameron Highlands.

Kerajaan wajar bertegas dalam hal ini. Majikan yang membawa masuk pekerja asing harus bertanggungjawab menyediakan kemudahan pengangkutan, supaya pekerja tidak bergantung kepada kenderaan peribadi.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan jalan raya tetapi juga melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, serta memastikan warga asing mematuhi undang-undang dan tidak menyalahgunakan kemudahan kenderaan. – UTUSAN

PEMERHATI
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×